Saifuddin seru belia 'merdeka' dari penyalahgunaan dadah
- Suara Keadilan
- Aug 31
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Golongan belia di negara ini diseru agar menjauhkan diri dan merdeka dari penyalahgunaan najis dadah.
Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) menerusi satu hantaran di Facebooknya menegaskan bahawa masalah penyalahgunaan dadah membawa kerugian kepada negara.
Justeru masyarakat perlu berganding bahu melindungi komuniti mereka daripada terperangkap masalah yang serius itu.
"Kita tidak perlu berselindung menyatakan kebenaran yang kita semua tahu bahawa dadah itu perniagaan kotor bernilai ratusan juta ringgit. Apapun cara sekalipun mereka akan cuba cari mangsa seramai yang mungkin.
"Saya kasihan melihat banyak bakat dan potensi manusiawi hancur kerana pengaruh dadah. Ia bukan sekadar merosakkan individu, tetapi turut memusnahkan masyarakat," katanya.
Terdahulu Saifuddin yang juga Setiausaha Kehormat Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor hadir ke program Santai Merdeka: Rimba, Rakyat dan Rezeki di Air Terjun Serendah, Hulu Selangor pada Sabtu.
Dianjurkan Perkasa Badan Selangor dengan kerjasama PEMADAM Selangor, UniKL, Team Selangor, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) serta Penghulu Mukim Serendah, ia bukan sahaja memperkukuh semangat kemerdekaan, malah menggerakkan sokongan masyarakat terhadap usaha pencegahan dadah di peringkat komuniti.
Menurut Saifuddin, program yang berlangsung dalam suasana santai di rimba itu turut diserikan dengan aktiviti gaya hidup sihat serta pameran projek kelestarian teknologi dan alam sekitar oleh penuntut UniKL yang dipimpin oleh Dr Shahril.
Inisiatif itu jelasnya mempamerkan usaha generasi muda dalam memastikan kesinambungan masa depan negara yang bebas dadah dan lestari.
Comments