Saifuddin saman tiktoker 'Tam Jebat' atas dakwaan fitnah
- Suara Keadilan
- 12 hours ago
- 1 min read

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memfailkan saman terhadap seorang pengguna media sosial pro-pembangkang yang didakwa memfitnah dan mencemarkan nama baik beliau.
Dalam pemfailan di mahkamah, Saifuddin mendakwa Zubair Ismail, 43, yang dikenali sebagai ‘Tam Jebat’ di platform TikTok dan Facebook, telah menyalahgunakan media sosial untuk menyebarkan tuduhan palsu terhadap dirinya.
Antara tuduhan yang dilemparkan ialah mendakwa Saifuddin, selaku Menteri Dalam Negeri, mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu.
Zubair turut menuduh beliau memfitnah Menteri Besar Kedah berhubung dakwaan kecurian nadir bumi serta salah guna dana penyelenggaraan jalan.
"Kenyataan itu adalah palsu, berniat jahat, berunsur fitnah dan cuba menggambarkan saya sebagai pemimpin yang menyalahgunakan kuasa serta tidak bermoral untuk memegang jawatan awam," kata Saifuddin.
Selain itu, Zubair juga didakwa mengejek Saifuddin berhubung sumbangan RM200,000 yang diberikan kepada pemain dan pegawai Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sempena Aidilfitri baru-baru ini.
Tiktoker itu menggambarkan sumbangan tersebut sebagai sekadar aksi menunjuk-nunjuk dan menuduh Saifuddin bertindak biadab kerana tidak melibatkan pemilik kelab ketika menyampaikan bantuan tersebut.
Saifuddin berkata kenyataan-kenyataan itu telah menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, malah menyebabkan beliau menjadi sasaran cemuhan dan gangguan dalam talian.
"Zubair membuat dakwaan palsu dengan niat jahat, dan enggan memohon maaf walaupun diberi peluang berbuat demikian pada 4 April lalu," katanya, dipetik daripada laporan media.
Untuk rekod, pada 26 Mac lalu, laporan media mengesahkan Saifuddin telah bertemu pemilik KDA FC, Datuk Seri Daud Bakar bagi membincangkan hala tuju kelab itu.
Pertemuan tersebut diadakan atas kapasiti peribadinya, didorong oleh minat beliau dalam bidang bola sepak dan sokongan terhadap pasukan Kedah.
Comentários