Saifuddin 'pulangkan paku buah keras' kepada Akmal Salleh
- Azuan Ab Rahman

- 3 minutes ago
- 1 min read

Kenyataan sindiran Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang dipercayai ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) dilihat memakan diri.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) 'memulangkan paku buah keras' terhadap kiasan 'lamaran dan perkahwinan' digunakan Akmal Salleh sebagai merujuk usaha digerakkan untuk bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Terdahulu, Akmal Salleh menerusi hantaran di Facebooknya memuat naik sindiran berbaur sinis dengan berkata:
"Nak berkawan kena ada maruah, nak bekerjasama kena ada harga diri. Kalau orang dah tak sudi tapi masih guna tekanan untuk paksa bersama, itu dayus namanya."
Bagaimanapun Saifuddin menyifatkan kiasan digunakan Ahli Dewan Undangan (ADN) Merlimau itu tidak tepat untuk mengambarkan situasi politik semasa.
"Salah kiasan itu Akmal. Ibarat sudah kahwin tapi menyundal di tempat lain -- walaupun sebelum ini dikutip dari lembah hina selepas terbuang," sindirnya dalam hantara di Facebook.
Sebagai rekod, Akmal Salleh sebelum ini pernah mengugut tidak akan bertanding pada PRN Melaka sekiranya PH dan BN mencapai kerjasama politik.
Sementara itu, Saifuddin mengisyaratkan bahawa pekung Umno yang selama ini ditutup rapi bagi menghormati kerjasama mungkin tidak akan dipertahankan.
"KEADILAN ini ditikam tidak mati. Kami membesar di jalanan, namun tahu menjaga kawan
"Kalau selama ini merayu agar tidak dibuka pekung lama kini nampaknya tiada yang harus terus dipertahan.
"Alang-alang mandi biar basah. Berputih tulang jangan berputih mata," tegas Saifuddin.




Comments