Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Aziz mengakui bahawa beberapa angka peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah kurang tepat.
Ini selepas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail mempersoalkan perkara tersebut.
"Saya teliti pengumuman perdana menteri semalam dan katanya seramai 1.4 juta pemandu ehailing menerima manfaat tapi yang berdaftar dengan APAD adalah 120,000 orang.
"Tapi perdana menteri umum 1.4 juta orang dengan komitmen RM34 juta. Kalau 1.4 juta menerima RM500, peruntukan sebenarnya adalah RM700 juta.
Malah, perdana menteri umum 477,000 pemandu teksi, bas, pemandu pelancong menerima RM600 dan katanya kerajaan terpaksa belanja RM28 juta, tapi peruntukan sebenarnya adalah RM286.2 juta.
"Jadi dalam keghairahan, rakyat berhak ketahui data yang tepat, barulah dapat memberi gambaran sebenar," katanya di Dewan Rakyat.
Saifuddin turut mempersoal keengganan kerajaan untuk berbincang isu melanjutkan moratorium.
"Soal moratorium itu penting tapi kenyataan menteri semacam non commital dan open-ended.
"Aset perbankan sehingga Oktober 2018 berjumlah RM2.63 trilion, kalau setakat leburkan RM59 bilion tak jadi kudis.
"Aset itu juga terdiri daripada lebih separuh dari hutang isi rumah untuk pinjaman kereta dan rumah. Ini soal perut dan kocek rakyat," katanya.
Tengku Zafrul kemudian mengakui angka yang diumumkan sememangkan kurang tepat dan mengemukakan angka peruntukan yang jauh lebih besar daripada pengumuman perdana menteri.
"Mengenai nombor-nombor yang dipetik daripada pengumuman perdana menteri, ada nombor yang kurang tepat, jadi saya percaya pembetulan akan diumumkan oleh pejabat perdana menteri," katanya.
Comments