Saifuddin peroleh penghakiman ingkar terhadap 'Tam Jebat'
- Suara Keadilan

- 2 days ago
- 1 min read

Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memperoleh penghakiman ingkar dalam kes saman terhadap seorang pengguna media sosial berhubung dakwaan melibatkan Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC).
Firma guaman SN Nair & Partners berkata Mahkamah Tinggi Alor Setar pada Selasa mengesahkan penghakiman ingkar tersebut yang dimasukkan terhadap Muhamad Zubair Ismail atau dikenali sebagai 'Tam Jebat' pada tahun lalu.
Menurut firma tersebut, Zubair cuba mengetepikan penghakiman ingkar tersebut atas alasan ia tidak teratur, namun mahkamah menolak hujah berkenaan.
"Mahkamah mendapati defendan gagal membuktikan kewujudan pembelaan bona fide terhadap tuntutan plaintif.
"Mahkamah juga memutuskan bahawa defendan gagal mengemukakan draf pembelaan dan tidak mengemukakan bukti mencukupi untuk menunjukkan beliau mempunyai pembelaan yang berasas dengan peluang kejayaan yang realistik," kata peguam dipetik.
Susulan itu Zubair diarahkan Mahkamah untuk membayar kos RM8,000 dan penilaian ganti rugi akan diuruskan kemudian.
Tahun lalu, Saifuddin yang juga Setiausaha Agung Pakatan Harapan, memfailkan saman terhadap Zubair susulan dakwaan kononnya beliau mendalangi serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ke atas Persatuan Bola Sepak Kedah tahun lalu sehingga menyebabkan penaja menarik sokongan daripada pasukan itu.
Saifuddin menyifatkan kenyataan itu palsu, berniat jahat, memfitnah, dan cuba menggambarkannya sebagai seorang pemimpin yang menyalahgunakan kuasa dan tidak cukup bermoral untuk menjadi penjawat awam.
Dakwaan Muhammad Zubair itu tegasnya telah menjejaskan reputasi, integriti dan kerjaya politiknya, menyebabkan beliau dicemuh dan diganggu dalam talian.




Comments