Saifuddin lawat kanak-kanak mangsa serangan lelaki tidak dikenali
- Suara Keadilan

- Feb 2
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad memberi jaminan akan memastikan sokongan emosi dan psikososial kepada kanak-kanak perempuan yang menjadi mangsa serangan seorang lelaki tidak dikenali di Hulu Selangor pada Khamis lalu segera disalurkan.
Beliau berkata, langkah intervensi awal amat penting bagi memastikan trauma dialami kanak-kanak tersebut bersama dua beradik yang lain tidak berpanjangan dan kebajikan keluarga mangsa terus terpelihara.
"Saya beri komitmen untuk hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi bantu sokongan emosi untuk Raisha serta keluarga.
"Dalam masa sama, kerjasama pihak polis dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Izola Bakawali akan diperkukuh selepas ini untuk pantau keselamatan di kawasan komuniti," katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Terdahulu, Saifuddin yang juga Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali mengadakan kunjungan ke kediaman keluarga Raisha Falisha di Taman Bakawali, Bukit Sentosa pada Sabtu.
Tular sebelum ini insiden tiga beradik yang berdepan detik cemas apabila seorang daripada mereka dipukul dan dicabul seorang lelaki ketika berjalan ke pasar malam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin memaklumkan seorang suspek berusia 23 tahun yang juga seorang penganggur kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Saifuddin sementara itu menyifatkan serangan tersebut sebagai sebagai satu bentuk tindakan tidak berperikemanusiaan yang wajar dikecam.
Beliau turut menyatakan kekagumannya terhadap keberanian abang dan kakak mangsa yang bertindak pantas mempertahankan adik mereka ketika insiden berlaku, sekali gus mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
"Saya juga mahu sarankan supaya pihak KRT dan Persatuan Penduduk selalu cakna, dapatkan maklumat asas penduduk terutama penyewa di kawasan kejiranan supaya tahap keselamatan kawasan komuniti dapat ditingkatkan," tambahnya.




Comments