Saifuddin cabar pembangkang tampil dasar lebih baik daripada kerajaan
- Suara Keadilan

- Jul 28
- 1 min read

Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (gambar) mencabar pembangkang untuk keluar dari kepompong politik sentimen.
Katanya, rakyat berhak membuat penilaian berasaskan fakta dan tawaran dasar, bukannya terperangkap dengan pekikan jalanan, maki hamun dan retorik kosong yang menjadi sandaran utama pembangkang sejak kebelakangan ini.
"Kerajaan hari ini tampil dengan pelbagai dasar dan program berasaskan data, kajian dan keperluan rakyat. Manakala mereka lawan dengan maki hamun dan politik sentimen,mengelak daripada membentangkan pelan alternatif yang realistik.
"Jadi rakyat tak dapat peluang nilai dengan adil. Kita tolak politik kotor macam ini," katanya dipetik.
Tambah Saifuddin, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang akan dibahaskan di Parlimen minggu ini merupakan peluang terbaik untuk pembangkang membuktikan kemampuan mereka sebagai blok alternatif yang berkesan.
Justeru beliau mencabar pembangkang tampil membentangkan dasar lebih baik bagi menyaingi dasar-dasar dilaksana Kerajaan MADANI.
"Kalau tak setuju dasar kerajaan, bentangkan dasar kebajikan kamu.
"Kalau rasa penurunan RON95 enam sen itu tak cukup, nyatakan berapa kamu nak turunkan, apa mekanisme kamu. Biar rakyat buat perbandingan," tegas beliau.
Sementara itu tambah beliau, kekuatan Kerajaan Perpaduan hari ini terletak pada komitmen terhadap penyelesaian isu rakyat secara berfakta, bukan bersandarkan permainan emosi dan persepsi.
Kegagalan pembangkang menawarkan idea yang lebih baik telah menyebabkan mereka gagal menyaingi kekuatan dasar yang dibawa oleh kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.









Comments