Sahut titah Raja Perlis, hentikan politik kuno, utamakan rakyat
- Suara Keadilan

- 12 hours ago
- 2 min read

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mahfuz Omar menyambut penuh hormat titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, Raja Perlis, yang menegaskan bahawa setiap wakil rakyat wajib mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri melebihi kepentingan parti atau peribadi.
Menurut beliau, titah Raja Perlis itu perlu dihormati dan dituruti semua pihak demi menjaga kebajikan rakyat.
"Titah Tuanku ini amat jelas, tegas dan tepat pada masanya, khususnya ketika Perlis sedang berdepan krisis politik yang berpunca daripada pertembungan kepentingan dalaman Pas dan PN, sehingga pentadbiran negeri terjejas dan rakyat menjadi mangsa.
"Malangnya, apa yang sedang berlaku hari ini menunjukkan seolah-olah ada pihak khususnya Pas masih terperangkap dengan politik kuno, politik yang meletakkan parti mengatasi rakyat, dan kuasa mengatasi amanah," katanya dalam satu kenyataan.
Mahfuz mendakwa krisis politik di Perlis berpunca daripada pertembungan kepentingan dalaman Pas dan Perikatan Nasional (PN), sehingga menyebabkan urusan pentadbiran negeri terganggu.
"Penolakan terhadap lantikan Exco bukanlah soal prinsip atau integriti, sebaliknya lebih menyerupai percaturan politik sempit yang tidak langsung menyelesaikan masalah rakyat"
Beliau menegaskan bahawa Exco dilantik bagi memastikan Kerajaan Negeri dapat berfungsi dengan baik, bukannya dijadikan alat tekanan politik.
"Apabila lantikan Exco ditolak, yang terkesan bukan parti tetapi rakyat Perlis, urusan kebajikan dan pentadbiran terganggu.
"Lebih membimbangkan, rakyat Perlis kini seolah-olah dihukum dua kali, pertama, akibat krisis dalaman Pas dan PN
"Kedua, akibat keengganan pihak Pas untuk mengutamakan kestabilan negeri dan kebajikan rakyat," ujarnya.
Menurut beliau, Perlis tidak memerlukan drama politik, sebaliknya memerlukan sebuah Kerajaan Negeri yang stabil, berfungsi dan mampu bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan demi kepentingan rakyat.
"Politik sandera, ugutan dan boikot pentadbiran hanyalah bukti politik lama yang semakin ditolak rakyat," katanya lagi.
Sehubungan itu, Mahfuz menyeru semua wakil rakyat di Perlis agar kembali kepada asas sumpah jawatan, menghormati titah Raja, menghentikan politik kepartian yang sempit serta meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan mutlak.









Comments