top of page

Sabotaj politik khianat mandat rakyat - Dr Suhaimi

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 51 minutes ago
  • 2 min read

Sebarang tindakan sabotaj politik dan konspirasi menjatuhkan kerajaan yang sah bukan lagi boleh dianggap sebagai perbezaan pandangan sebaliknya satu bentuk pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan demokrasi berparlimen.


Ketua Penerangan KEADILAN Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim (gambar) menegaskan usaha meruntuhkan kerajaan melalui jalan belakang melangkaui batas moral serta undang-undang negara.


"Tindakan sabotaj politik dan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan yang sah bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, tetapi satu pengkhianatan terhadap mandat rakyat dan kerangka demokrasi berparlimen.


"Dalam apa jua keadaan, usaha untuk meruntuhkan kerajaan melalui jalan belakang, memanipulasi persepsi awam secara terancang, atau berkomplot dengan pihak berkepentingan yang punya agenda terselindung, melangkaui batas moral dan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut Suhaimi, politik yang sihat mesti mempunyai sempadan yang jelas antara persaingan dasar dan tindakan yang boleh merosakkan institusi negara.


"Politik mesti ada sempadan yang jelas: berbahas dengan hujah, bersaing dasar dan rekod tetapi merosakkan institusi, mengancam kestabilan dan menjejas keyakinan terhadap negara, tidak boleh sekali-kali dinormalisasikan," tegasnya.


Semalam, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung dakwaan cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.


Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.


Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan kerana melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, sama ada secara langsung atau tidak langsung.


Namun Suhaimi menekankan bahawa penolakan terhadap sabotaj dan konspirasi tidak bermakna menutup ruang perbezaan pendapat atau kritikan terhadap kerajaan.


"Siasatan perlu dijalankan dengan profesional, bukti mesti diuji di mahkamah dan hukuman jika ada, hendaklah berasaskan fakta, bukan persepsi," katanya.


Tambah beliau, kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menjadi alat manipulasi atau fitnah.


"Kebebasan bersuara tidak boleh dijadikan lesen untuk memanipulasi maklumat, menyebarkan fitnah atau menjadi topeng bagi operasi sabotaj politik.


"Ruang kritik terhadap kerajaan, dasar, dan pemimpin perlu luas dan dilindungi, kerana tanpa suara yang bebas, penyalahgunaan kuasa tidak dapat dipantau."


Mengulas pengalaman politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), beliau berkata tempoh ketidakstabilan yang menyaksikan beberapa kali pertukaran Perdana Menteri memberi kesan besar kepada keyakinan pelabur dan kesejahteraan rakyat.


"Pengalaman selepas PRU-14 dengan beberapa kali pertukaran perdana menteri telah mengajar kita betapa mahalnya harga ketidakstabilan politik dan ekonomi," katanya.


Menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), beliau mengingatkan bahawa medan sebenar untuk menukar kerajaan ialah melalui pilihan raya.


"Jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini, medan yang betul ialah pilihan raya, bukan pintu belakang atau operasi halus yang merosakkan kepercayaan terhadap sistem.


"Pilihan raya mesti ditegaskan sebagai gelanggang utama pertarungan politik. Di sanalah mandat diperbaharui, kuasa diberi dan ditarik balik, serta parti dan pemimpin diuji di hadapan rakyat, bukan di bilik tertutup atau meja rundingan sulit


"Rakyat berhak kepada kerajaan yang jatuh dan bangun melalui undi mereka sendiri, bukan kerana konspirasi segelintir," tegasnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page