Dr Samsuri Pengerusi PN, 'poster boy' bukti kepimpinan ulama Pas makin luntur
- Suara Keadilan

- 22 minutes ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) mendakwa pencalonan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar sebagai “poster boy” Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 berikutan beliau dilantik sebagai pengerusi gabungan pembangkang memperlihatkan konsep 'kepimpinan ulama' Pas yang selama ini menjadi teras perjuangan semakin terhakis.
Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil (gambar) berkata, sekiranya kepimpinan ulama benar-benar menjadi asas perjuangan parti itu, sewajarnya Presiden Pas atau ulama yang setara dengannya diangkat sebagai ikon gabungan berkenaan.
"Pemilihan Datuk Seri Dr Samsuri Mokhtar sebagai ‘poster boy’ PN jelas menunjukkan konsep kepimpinan ulama dalam Pas semakin luntur. Andai kata kepimpinan ulama menjadi teras perjuangan, sudah tentu Tan Sri Hadi Awang yang akan diketengahkan, namun ini tidak berlaku," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, situasi tersebut mencerminkan perubahan haluan politik Pas terkini yang didakwa lebih mengutamakan percaturan politik berbanding prinsip perjuangan Islam yang konsisten.
"Itulah wajah sebenar Pas, hanya mementingkan politik dan bukannya perjuangan Islam sebenar. Islam hanya ditunggang sebagai candu politik demi meraih undi dan sokongan terutamanya daripada kaum Melayu.
"Tetapi hakikatnya, Pas sering membuat fatwa yang berubah-ubah mengikut selera politik mereka. Ketika bermusuh dengan UMNO, UMNO dikafirkan, tetapi ketika mahu bersama UMNO, UMNO diibarat satu rahmat. Ketika menjadi pembangkang, hukum hudud dan RUU 355 menjadi taruhan, tetapi bisu bila jadi kerajaan," katanya.
Ujarnya, dengan perubahan kompas politik Pas sekarang, parti tidak lagi boleh mendabik dada hanya mereka memperjuangkan Islam.
Tuduhan Amanah liberal, sekular dan bermacam lagi, kata Faiz, sudah tidak relevan kerana Pas tidak lagi memperjuangkan kepimpinan ulama.
"Sekadar menuduh AMANAH tidak Islamik hanya kerana berkawan dengan DAP amat tidak berasas, kerana Pas juga pernah berkawan dengan DAP, malah menyokong kepimpinan DAP di dalam kerajaan Pulau Pinang pada tahun 2008 dan 2013," bidas beliau.
Selain itu, Faiz turut mempersoalkan prestasi pentadbiran negeri-negeri di bawah Pas dan PN, membandingkannya dengan negeri yang diterajui Pakatan Harapan (PH).
"Berdasarkan data 2024, satu pertiga KDNK Malaysia atau 33.6% disumbangkan dengan hanya oleh dua negeri, iaitu Selangor dan Pulau Pinang (ditadbir PH). Manakala, keempat-empat negeri di bawah Pas dan PN pula hanya menyumbangkan kurang daripada 8%, dengan Terengganu hanya menyumbang sekadar 2.4%.
"Prestasi paling buruk direkodkan oleh Kelantan di mana sumbangannya pada 2024 hanyalah 1.7% walaupun ia merupakan negeri keenam terbesar. Lebih malang lagi, data setakat 31 Dis 2025 menunjukkan bahawa Kelantan, Terengganu dan Kedah menyumbang lebih separuh kes kemiskinan di Semenanjung Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, Faiz menggesa rakyat menilai kemampuan sesebuah kerajaan berdasarkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
"Dengan prestasi baik ekonomi negara sekarang di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, Malaysia sudah berada di landasan yang betul dalam memacu ekonomi.
"Ekonomi yang baik menjanjikan kesejahteraan hidup rakyat di mana hari ini, banyak insentif kebajikan rakyat yang dilaksanakan kerajaan Madani. Di samping itu, kecukupan makanan dengan harga berpatutan sekarang adalah kunci kepada pengurangan kos sara hidup," katanya lagi.




Comments