top of page

KEADILAN Klang usul pengguna boleh mohon tambah kuota BUDI95

  • Writer: Akmal Manaf
    Akmal Manaf
  • Apr 22
  • 2 min read
Pimpinan Cabang KEADILAN Klang dalam MATC, kelmarin
Pimpinan Cabang KEADILAN Klang dalam MATC, kelmarin

Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) KEADILAN Klang sebulat suara mengekalkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri sebagai calon tunggal kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) akan datang.


Ketua Penerangan KEADILAN Klang, Ahmad Nazree Mohamad berkata, keputusan itu diambil berdasarkan prestasi cemerlang, komitmen tinggi dan penerimaan baik dalam kalangan rakyat setempat terhadap Azmizam sekaligus menjamin kesinambungan kemenangan.


"Antara usul-usul lain yang telah diterima adalah penambahan kuota BUDI 95 kepada had siling 300 liter bergantung kepada penggunaan bulanan.


"Cadangan itu bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat dengan mengambil kira keperluan penggunaan bulanan yang semakin meningkat.

Azmizam berpidato dalam MATC
Azmizam berpidato dalam MATC

"Bagi pengguna yang telah mencapai penggunaan melebihi 200 liter sebulan, Cabang Klang mencadangkan agar pengguna tersebut boleh memohon penambahan kuota sehingga had maksimum 300 liter, tertakluk kepada kelulusan pihak Kerajaan Persekutuan," katanya dalam satu kenyataan.


Selain itu, kata Ahmad Nazree, KEADILAN Klang juga mengusulkan pembinaan Pusat NADI baharu di Kampung Telok Gong, Pelabuhan Klang.


Ujarnya, usul tersebut menekankan kepentingan memperluaskan akses digital serta memperkasa komuniti setempat dalam era ekonomi digital.


Juga diusulkan penambahan kuota Ketua Komuniti India bagi DUN Pelabuhan Klang. Langkah itu dilihat penting dalam memperkukuh keterangkuman dan memastikan representasi komuniti India lebih menyeluruh di peringkat akar umbi.


"Usul lain tentang mengembalikan Insentif Perkahwinan Belia I-GEMS bertujuan membantu golongan belia mengurangkan beban kos permulaan perkahwinan serta menggalakkan pembinaan institusi keluarga yang stabil.


"Turut dicadangkan penambahan bantuan baucar buku daripada RM100 kepada RM200 untuk mahasiswa dan warga pendidik. Cadangan ini bagi menyokong pembangunan ilmu, menggalakkan budaya membaca serta meringankan kos pendidikan," katanya lagi.


Ahmad Nazree menyifatkan, kesemua usul itu mencerminkan keprihatinan parti terhadap isu kos sara hidup, pembangunan komuniti, pendidikan serta kebajikan rakyat secara menyeluruh.


Lebih penting ujar beliau, mesyuarat tersebut turut memperlihatkan kesepakatan yang utuh dalam kalangan seluruh pimpinan dan anggota Cabang Klang, merentasi semua sayap parti.


"Semangat kebersamaan ini menjadi asas kekuatan organisasi dalam menghadapi cabaran politik yang mendatang.


"Sehubungan itu, Cabang Klang dengan penuh tekad, keyakinan serta semangat juang yang tinggi menyatakan kesiapsiagaan sepenuhnya untuk menghadapi pilihan raya umum ke 16, dengan iltizam bukan sahaja mempertahankan kemenangan sedia ada, malah memperluaskan sokongan rakyat di semua peringkat," katanya.

1 Comment


informational site
informational site
May 10

I really like how easy it is to buka tool and start editing right away without installation. The process feels very lightweight and fast.

Like

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page