top of page

Fitnah jadi budaya politik, tuduh dahulu, mohon maaf kemudian?

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 22
  • 1 min read

Tindakan Ahli Parlimen Jasin dan lidah rasmi Pas, Harakah yang memohon maaf kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, selepas didakwa membuat tuduhan tidak berasas perlu dipandang serius.


Menurut Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar), isu berkenaan tidak seharusnya berlegar di sekitar permohonan maaf dan mengku tersilap, sebaliknya hal itu menyentuh soal integriti dalam politik.


"Ini bukan soal maaf semata-mata. Ini soal integriti.


"Sebelum ini mereka berdegar-degar membuat tuduhan dengan nada yakin dan bahasa keras, seolah-olah merekalah pejuang kebenaran, tetapi akhirnya terpaksa memohon maaf," katanya dalam kenyataan hari ini.


Mantan Ahli Parlimen Pokok Sena itu mempersoalkan tindakan Ustaz Zulkifli Ismail sebelum ini membuat tuduhan tanpa asas kononnya Fadhlina melarang takbir dan bacaan Qunut Nazilah di sekolah ketika program Minggu Solidariti Palestin pada 2023, dan sekarang menarik balik kenyataan tersebut.


"Kalau benar, kenapa perlu minta maaf? Kalau salah, kenapa berani menuduh?" soalnya.


Oleh itu, beliau menegaskan bahawa budaya fitnah tidak boleh dipandang ringan dalam landskap politik negara, apatah lagi sekiranya diulang secara berterusan.


"Budaya fitnah tidak boleh dinormalisasikan. Ini bukan kali pertama, corak sama diulang, tuduh dahulu, minta maaf kemudian," ujarnya.


Tambah beliau, penggunaan sentimen agama dalam serangan politik juga perlu dihentikan kerana boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap kredibiliti tokoh agama.


"Bila menyerang, guna sentimen agama. Bila tersilap, sembunyi di sebalik alasan ‘kita manusia biasa’," katanya.


Justeru, Mahfuz menegaskan perlunya rakyat menilai setiap tindakan pemimpin Pas dan jangan mudah terpengaruh dengan retorik pemimpin semata-mata tanpa merujuk kepada sumber sahih.


Beliau juga menyifatkan tindakan membuat tuduhan tanpa mempertahankannya sebagai tidak mencerminkan perjuangan sebenar.


"Berani menuduh, tapi tidak berani mempertahankan tuduhan. Itu bukan perjuangan, itu sandiwara," sinisnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page