KEADILAN ambil pendekatan berhemah, tunggu penjelasan Rafizi
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 1 min read

Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil pendekatan berhemah dan tidak tergesa-gesa dalam menangani isu membabitkan bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Dr Fuziah Salleh (gambar) memaklumkan, surat tunjuk sebab dikeluarkan bagi memberi ruang kepada Rafizi menjelaskan pendirian sebenar beliau susulan beberapa kenyataannya termasuk hasrat mempertahankan kerusi Parlimen Pandan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 bukan atas tiket parti itu.
"KEADILAN tidak mahu membuat sebarang keputusan tanpa merujuk kepada perlembagaan parti.
"Apabila beliau menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 dan kemungkinan keluar daripada parti, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa sudah wujud niat untuk meninggalkan parti.
"Kita hanya mahu mendapatkan kepastian sama ada benar itu hasrat beliau atau sebaliknya," katanya dipetik selepas menghadiri sesi Walkabout Bazar Ramadan Rahmah Peringkat Zon Timur di Mydin Mall Tunjong, Kota Bharu pada Jumaat.
Rafizi mengambil sikap berpatah arang daripada KEADILAN selepas tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu tahun lalu.
Menerusi satu temu bual bersama Sin Chew Daily sebelum ini, Rafizi menyatakan hasrat untuk bertanding pada PRU16 tanpa menggunakan tiket parti.
Beliau turut menyifatkan KEADILAN bukan lagi 'rumah' baginya serta menyatakan faktor utama yang menghalangnya meninggalkan parti itu sekarang ialah kerana wujudnya undang-undang anti lompat parti.
Dr Fuziah sementara itu menjelaskan surat tunjuk sebab dikeluarkan pada 23 Februari lalu dan Rafizi diberi tempoh sehingga hari ini untuk membuat penjelasan rasmi, selaras dengan Fasal 9.1 (c) mengenai pengisytiharan anggota itu sendiri bahawa beliau keluar daripada parti.
Sebarang keputusan berkaitan kedudukan Rafizi jelasnya akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat pada 1 Mac ini berdasarkan jawapan diterima dari Ahli Parlimen Pandan itu.




Comments