Sabah terima peruntukan tertinggi, bekalan air, elektrik dibantu - PM
- Suara Keadilan
- 3 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis dakwaan sesetengah pihak kononnya Kerajaan MADANI mengabaikan peruntukan kepada Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau menegaskan, Sabah adalah negeri yang tertinggi menerima peruntukan tahunan daripada Kerajaan Persekutuan dengan jumlah sebanyak RM17 bilion berbanding negeri-negeri lain.
"Pandangan kita abaikan itu tidak tepat. Ini kerana Sabah mendapat peruntukan tertinggi RM17 bilion.
"Umpama perjanjian MA63 tetapkan kawal selia bekalan elektrik mesti jadi milik Sabah. Jadi kita sudah menyerahkannya pada Januari 2024.
"Tetapi walau jadi milik Sabah, kita masih menyediakan RM1.2 bilion kerana keperluan elektrik Sabah. Begitu juga RM706 juta projek talian penghantaran Southern Link, memasang Solar Hybrid MADANI untuk kampung Malaysia.
"Kita mulakan dengan kampung di Sabah. Bekalan air bersih RM1 billion, projek sambungan dasar laut MADANI, kos RM2 bilion dan juga Lebuhraya Pan Borneo," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam perkembangan sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bahawa pihaknya tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas 40 peratus hasil kepada Sabah kerana perkara tersebut telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Setelah penelitian dan mengambil kira semua pertimbangan, beliau berkata pihaknya telah memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil itu.
"Malah hari ini melalui Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Johan Mahmood Merican) menulis surat kepada Ketua Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah meminta supaya rundingan dimulakan segera agar tiada lagi penangguhan.
"Saya jelaskan sekali lagi, tidak ada rayuan dalam isu pemberian khas. Noktah," ujarnya lagi.





