Sabah, Sarawak bukan lagi ‘anak tiri’ atau deposit tetap sokongan politik
- Suara Keadilan

- 51 minutes ago
- 2 min read

Pertemuan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di sela-sela ALC-27 kelmarin dilihat sebagai gambaran pendekatan baharu Kerajaan MADANI dalam menangani isu hak Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Pengamat media sosial yang dikenali sebagai Jason berkata, pertemuan berkenaan wajar dilihat dari sudut berbeza dan tidak semestinya dianggap sebagai sekadar acara politik yang biasa.
"Tiada sidang media gah. Tiada sorakan penyokong. Hanya tiga orang sosok tubuh pemimpin wilayah yang duduk berbincang dengan tenang. Di sebalik cawan kopi itu, perbincangan mereka menyentuh satu luka lama yang sekian lama berparut di jiwa rakyat Borneo, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya dalam muat naik di media sosial.
Menurut Jason, isu MA63 sebelum ini sering menjadi bahan kempen politik, khususnya menjelang pilihanraya, namun pendekatan Kerajaan MADANI di bawah pimpinan PM Anwar dilihat lebih menekankan rundingan dan pembinaan kepercayaan.
"Ramai pemimpin terdahulu bercakap lantang tentang MA63 apabila tiba musim pilihanraya, menjadikannya modal memancing undi. Namun kali ini, pendekatannya jauh berbeza.
"Kerajaan MADANI memilih jalan yang sunyi dan tidak popular, iaitu berunding secara tertutup, membina kepercayaan, dan memulangkan hak tanpa perlu menjerit di hadapan mikrofon," katanya.
Beliau berkata usaha menyelesaikan isu berkaitan MA63 perlu mengambil kira pengalaman rakyat Sabah dan Sarawak yang sekian lama merasakan mereka dipinggirkan daripada arus pembangunan Persekutuan.
Katanya, menjelang Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 di Kota Kinabalu, pendekatan kerajaan perlu diterjemahkan kepada pelaksanaan sebenar dan bukan sekadar janji.
Jason turut mengakui bahawa masyarakat mempunyai hak untuk bersikap skeptikal terhadap perkembangan politik berkaitan Sabah dan Sarawak.
"Mungkin anda masih berfikir, ‘Alah, ini semua wayang politik.’ Tidak mengapa, teruskan keraguan itu kerana ia membuktikan anda pengundi yang matang," katanya.
Namun begitu, beliau berpandangan usaha menyatukan Semenanjung, Sabah dan Sarawak berasaskan prinsip saling menghormati merupakan pendekatan yang perlu diberikan perhatian.
"Dalam dunia hari ini yang bising dengan budaya caci-maki dan kebencian semberono, usaha menyatukan Semenanjung, Sabah, dan Sarawak atas dasar ‘saling menghormati’ adalah satu anjakan paradigma yang patut kita renungkan."
Jason menegaskan Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai sumber sokongan politik atau fixed deposit kepada Kerajaan Persekutuan, sebaliknya sebagai rakan kongsi setaraf dalam pembentukan Malaysia.
"Dan sarapan pagi ini? Ia adalah bukti bahawa rundingan ikhlas sentiasa bermula dari sebuah meja kecil, membawa kepada kesejahteraan yang adil untuk semua," jelasnya.
Beliau berkata, rakyat berhak mengkritik kesilapan masa lalu di bawah pentadbiran BN, namun pada masa sama perlu memberi ruang kepada usaha membina masa depan negara yang lebih baik dan stabil.
"Kita berhak untuk marah dengan kesilapan masa lalu, tetapi tidakkah kita juga berhak memberi peluang kepada masa depan yang lebih baik dan stabil?" katanya.




Comments