Sabah nikmati peruntukan tertinggi di bawah Kerajaan MADANI
- Suara Keadilan

- Nov 12
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Sabah menikmati peruntukan pembangunan tertinggi dalam sejarah negara di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Saifuddin Shafi Muhammad (gambar) berkata, peruntukan besar yang disalurkan Kerajaan Persekutuan itu membuktikan komitmen Kerajaan MADANI terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sekaligus menandakan perubahan positif dalam hubungan Persekutuan dan Kerajaan Negeri itu.
"Pada era pentadbiran lalu, Sabah hanya menerima peruntukan sederhana dan isu ketidakseimbangan pembangunan antara Sabah dan Semenanjung sering dibangkitkan rakyat.
"Namun di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, buat pertama kali Sabah menerima peruntukan sehingga RM14 bilion setahun pada 2023 dan 2024 selain tambahan RM6.9 bilion untuk pembangunan negeri serta RM600 juta geran khas MA63 dalam Belanjawan 2026.
"Jumlah ini bukan angka kecil — ia mencerminkan keazaman Perdana Menteri memastikan Sabah mendapat hak dan perhatian sewajarnya," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu pada Ahad, Perdana Menteri menegaskan Sabah menerima peruntukan pembangunan paling tinggi berbanding negeri lain kerana Kerajaan Persekutuan menyedari masih wujud banyak kekurangan yang perlu ditangani segera, termasuk jalan berlubang, sekolah daif dan kadar kemiskinan yang tinggi.
Menjawab gesaan berhubung tuntutan pemulangan hak 40 peratus hasil Sabah, Datuk Seri Anwar turut menjelaskan bahawa Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan sekitar RM17 bilion untuk Sabah berbanding RM10 bilion hasil negeri yang dikutip setiap tahun.
Bagaimanapun menurut Anwar, Kerajaan Persekutuan bersedia untuk terus berunding mengenai isu tersebut setelah kerajaan baru dibentuk semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai.









Comments