Sabah lebih cepat membangun jika kerjasama erat dengan Semenanjung - PM
- Suara Keadilan
- 39 minutes ago
- 2 min read

Kerjasama erat antara Sabah dan Semenanjung atau Kerajaan Negeri dan Persekutuan diperlukan untuk negeri di bawah bayu itu bergerak maju.
Hal itu dinyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan pada majlis Perasmian Penutupan Program Madani Rakyat 2025 Sabah, petang tadi.
Menurutnya, terdapat pemimpin Sabah yang sering mempersoalkan Kerajaan Persekutuan secara yang tidak sepatutnya, sedangkan sewajarnya mereka bersama sama bersatu memajukan negeri.
"Kadang kala sebahagian mereka (pemimpin) banyak jawatan besar, ada jaga parlimen tetapi sekarang tunjuk nak majukan Sabah kena seteru dengan Semenanjung atau seteru dengan Persekutuan.
"Semenanjung, Sarawak, Sabah tak akan maju kalau tidak kita bersatu, muafakat, angkat negeri ini bersama," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui RTM.
PM dalam ucapan itu juga menempelak sikap sesetengah pemimpin pembangkang yang mengapi apikan ketidak puasan hati rakyat sehingga menyukarkan hubungan antara Kerajaan Negeri dan Persekuuan.
Katanya, pemimpin tersebut tidak melakukan yang terbaik sewaktu mereka berkuasa tetapi menghasut rakyat ketika telah menjadi pembangkang.
"Bila ada kuasa tak fikir jaga rakyat. Tak lakukan banyak. Bila hilang kuasa (barulah) jaga Melayu, Islam terancam, negeri tak dijaga. Kamu ada kuasa dulu buat apa?
"(Perlu) buat sebaiknya untuk rakyat masa kita ada kuasa," katanya.
Walau bagaimanapun PM tidak menolak terdapat kelemahan dalam pentadbiran Kerajaan Madani yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa.
Katanya, terdapat juga kerosakan yang telah berlaku lama dan tidak mungkin diperbaiki dalam masa hanya dua tahun pemerintahan.
Justeru itu, beliau bertekad akan terus mengutamakan program untuk rakyat terutama meningkatkan kemudahan asas khususnya di Sabah.
Selain itu, katanya, pencapaian ekonomi Sabah di bawah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor adalah baik dan pencapaian ekonomi Malaysia turut memberansangkan dengan mencatat jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah pada tahun 2024 lalu.
Namun, ujarnya, rakyat perlu bersiap sedia dengan masalah ekonomi yang berlaku akibat perang dagang Amerika Syarikat (AS).
Dan kerajaan akan berusaha sebaik baiknya untuk mengatasi masalah itu dengan sokongan padu daripada rakyat di bawah.
"Prestasi (negeri) baik tahun lalu. Prestasi Malaysia, pelaburan kita catat dalam 2024 tertinggi dalam sejarah.
"Namun sekarang kita hadapi tarif. AS kenakan cukai tinggi barang barang nak masuk ke negara mereka. Barang kita nak masuk sukar kerana cukai tinggi. Sebab itu kita runding.
"Kita eksport tinggi ke AS. 60% semikonduktor dieksport ke sana. Kayu kayan perabot AS$2 bilion.
"Oleh itu, selain runding kita perlu bina kekuatan. Tetapi bagaimana kita bina kekuatan kalau kita maki hamun sana sini," katanya lagi
Sehubungan itu, PM mahu rakyat Sabah bersatu padu dalam menghadapi cabaran semasa ekonomi dan politik pada masa ini.