Sabah bersatu bawa semua kaum bekerjasama - Anwar
- Suara Keadilan

- 4 days ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Sabah akan mencapai kejayaan sekiranya dapat membawa semua pihak tanpa mengira kaum melibatkan Kerajaan Negeri dan Persekutuan untuk saling bekerjasama.
Perdana Menteri berkata pendekatan itu membolehkan negara ini termasuk Sabah terus aman sekali gus dapat membuka lebih banyak peluang untuk berkembang hebat di dunia.
"Saya mahu Sabah berjaya dan anda pastikan Sabah berjaya, untuk itu negeri kena aman. Ada Kadazan, Dusun, Bugis, Murut dan Suluk. Ada Cina dan Melayu, semua satu Sabah yang kukuh.
"Kalau ada parti-parti yang kempen [guna sentimen] kaum ini semua mengarut. Mereka hanya ingin melindungi diri mereka. Jika mahu mempertahankan Sabah anda perlu membawa semua pihak bersama untuk Sabah bersatu," katanya dalam program Townhall PMX Sayang Sabah Bersama Anak Muda Inanam.
Hadir sama calon PH kerusi Inanam, Datuk Peto Galim dan calon PH Api-Api, Thonny Chee.

Oleh: Helmi Mohd Foad
Anwar yang menolak sentimen kenegerian dan kaum menegaskan apa yang penting bagi rakyat Sabah ialah sejauh mana mereka dapat memberikan perkhidmatan dan pengorbanan kepada negara.
Perdana Menteri berkata beliau berasal dari Pulau Pinang tetapi pernah menjadi menjadi Ahli Parlimen di Port Dickcon, Negeri Sembilan sebelum kini mewakili Parlimen Tambun, Perak.
"[Saya] tinggal di Selangor dan bekerja di Putrajaya dan Kuala Lumpur, bagi saya apa yang penting ialah sejauh mana yang terbaik kita beri khidmat dan pengorbanan kepada Malaysia," ujarnya di hadapan ribuan anak muda.
Beliau turut menepis dakwaan segelintir pihaknya kononnya pemimpin di Persekutuan ingin mengawal Sabah sedangkan beliau kerap berkungjung ke negeri itu bagi memberikan tumpuan kepada aspek pelaksanaan pembangunan.
"Saya datang berkali-kali, saya Perdana Menteri yang paling banyak datang ke Sabah dalam tempoh tiga tahun..ya, bukan untuk kempen sekarang, sebelum ini pun.
"Saya tidak ambil pun balak, satu projek atau saham..tidak. [Sebalik] saya datang ke sini untuk berkhidmat untuk memastikan Sabah berjaya dan unggul," katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menarik perhatian bahawa pentadbiran kerajaan PH memberikan peruntukan bagi membina paling banyak sekolah di Sabah selain merancang mewujudkan kolej tingkatan enam.
"Cakap soal sekolah, kerajaan Persekutuan [sedia dana] bangunkan. Maktab Perguruan Gaya yang runtuh, siapa bangunkan? Kita kerajaan Persekutuan sedia RM200 juta bangunkan yang baru.
"Ini semua dapat dilakukan kalau ada kerjasama negeri dan Persekutuan," jelasnya.
Justeru itu, beliau mahu anak-anak muda di Sabah memastikan calon PH menang dalam PRN kali ini sekali gus dapat menjalinkan kerjasama antara Sabah dan Persekutuan.
"Untuk berjaya anda kena kena pastikan kita dapat bekerjasama, ia bermaksud kerjasama negeri dan Persekutuan.
"Jangan lupa anak-anak muda anda tanggungjawab pada 29 November ini, sudah boleh undi, ada yang kali pertama, lakukan perkara yang betul, undi wakil saya di sini," katanya.









Comments