top of page

S'gor negeri pertama di Semenanjung tampung sebahagian kos pengajian pelajar

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 1 min read

Kerajaan Selangor tampil sebagai negeri pertama di Semenanjung yang membiayai separuh kos pengajian tinggi anak negeri.


Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari (gambar) berkata, kos pengajian itu membabitkan pembiayaan kepada pelajar dari negeri itu yang menuntut di Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL) serta Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).


"Setakat ini, hanya dua negeri mempunyai kemampuan seperti ini. Sarawak menanggung sepenuhnya, manakala Selangor menanggung satu perdua. Kita satu-satunya negeri di Semenanjung yang mampu melaksanakan perkara ini dengan kos hampir RM20 juta.


"Kerajaan negeri menyasarkan tajaan itu kepada 4,000 anak Selangor yang menuntut di tiga institusi berkenaan.


"Insya-Allah pada masa depan, kalau format dan program ini berjaya, kita bersedia untuk menaja penuh pendidikan percuma kepada mereka yang memerlukan di institusi pendidikan negeri Selangor," katanya dipetik.


Terdahulu, Amirudin melancarkan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) & Program Didik Kasih di Dewan Raja Muda Musa di Shah Alam pada Jumaat.


Sementara itu sebagai mengulas pelaksanaan PTRS beliau berkata, program tahunan bermula 2009 itu sudah dinaiktaraf dari semasa ke semasa.


Bagi tahun ini jelasnya, kira-kira 160,000 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 mendapat manfaat dari program tuisyen itu serta makan tengah hari secara percuma.


"Jadi kita mahu mereka ada motivasi, keyakinan diri yang tinggi, pemikiran yang lebih positif dalam berdepan cabaran, selain melatih dan mendidik kemahiran berfikir ataupun kemahiran asas dalam pendidikan.


"Tahun lalu, kita masukkan Matematik Tambahan dalam PTRS dan tahun ini kita ada dua mata pelajaran baharu, iaitu Fizik dan Kimia. Tahun depan mungkin kita boleh meneroka Biologi," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page