top of page

RUU PSB: Mampu elak banyak tanah orang Melayu, Bumiputera tergadai

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 29
  • 2 min read

RUU PSB mampu elak banyak tanah milik orang Melayu dan Bumiputera tergadai. Foto: FB Anwar
RUU PSB mampu elak banyak tanah milik orang Melayu dan Bumiputera tergadai. Foto: FB Anwar

Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dibentang pihak kerajaan sebenarnya mampu mengelakkan banyak tanah milik orang Melayu dan Bumiputera tergadai, demikian menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Perdana Menteri berkata pelaksanaan RUU itu ternyata berbeza daripada apa yang didakwa pihak pembangkang kononnya kerajaan tunduk kepada tuntutan bukan Melayu atau melakukan tindakan gentrifikasi dengan memindahkan orang Melayu ke luar bandar.


"(Mengenai) RUU URA, kalau dengar penjelasan menteri (Nga Kor Ming) semalam, ia (menyebut) soal demografi. Soal Cina nak ambil hak orang Melayu, itu semua tak benar.


"Kita akan pertahan kepentingan semua kaum, pembangunan terutama bagi golongan menengah M40 dan B40 di beberapa kawasan tertentu," kata beliau dipetik Bernama selepas merasmikan pembukaan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) Seksyen Satu Persimpangan Bertingkat Sungai Long- Persimpangan Bertingkat Ampang hari ini.


Hadir sama Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.


RUU PSB 2025 dibacakan kali kedua di Dewan Rakyat semalam namun ditangguh perbahasan dan kelulusannya ke sidang akan datang dengan kerajaan bersetuju meminda beberapa perkara termasuk klausa tentang nilai ambang persetujuan pemilik tanah.


RUU ini dilihat penting untuk meningkatkan taraf hidup golongan miskin bandar melalui pembangunan semula kawasan perumahan lama yang tidak lagi sesuai didiami.


Perdana Menteri menegaskan pentadbirannya tidak akan mengulangi tindakan kerajaan terdahulu yang disifatkan lebih mudah menyerahkan tanah di bandar kepada pemaju demi keuntungan.


Justeru itu, beliau menegaskan bahawa penangguhan kelulusan bagi RUU itu tidak akan mengubah tekad kerajaan untuk meneruskan usaha membangunkan kawasan perumahan daif di negara ini.


Anwar berkata kerajaan akan terus mempertahankan kepentingan semua kaum terutamanya golongan B40 dan M40 yang memerlukan rumah lebih selesa untuk didiami.


"Kadang-kadang 80 peratus (pemilik) setuju (bangun semula) manakala 20 peratus lagi tak setuju,


"Pihak 20 peratus yang tak setuju (juga) akan mendapat manfaat yang sama, tapi kita akan paksa mereka. Takkan kita nak terima (pandangan) 20 peratus dan tolak hak 80 peratus untuk pindah ke kediaman lebih selesa.


"Ini saya gunakan kesempatan petang ini kerana hal (RUU PSB) ini masih hangat dibincangkan. Apa naratif orang luar? (Jawapannya) Kerajaan tunduk pada tekanan Cina, ambil tanah Melayu nak pindahkan orang Melayu.


"Yang pindah dulu kerajaan kamu (pembangkang)! Kerajaan kami tak akan khianati, hak mereka akan kita pertahankan, mana mungkin kita biarkan keadaan begitu," katanya lagi.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berharap agar semua pihak dapat memahami tujuan RUU tersebut khususnya demi meningkatkan taraf hidup golongan miskin bandar serta memastikan kediaman yang lebih selesa.


"Pagi tadi bincang di mesyuarat Jemaah Menteri tentang isu perumahan. Kita mahu cepat, kita mahu buktikan bahawa kecaman pembangkang itu tak masuk akal, tak munasabah. Nak bangunkan kita tak boleh sabar (lagi).


"Sebab itu saya persila mereka (pembangkang) pergi tengok projek perumahan yang sesak, satu rumah satu bilik, satu keluarga punyai enam anak, dua keluarga pun ada. Dan ia dibangunkan pada 60-an atau 70-an.


"Memang tak sampai 30 tahun, boleh kata patut tengok strukturnya (masih) kekal, (tetapi) rumah (itu) tak sesuai lagi. Kalau kita nak jaga kepentingan rakyat, terutamanya yang bawahan, kita kena ada sikap pendirian yang tegas dan berani," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page