top of page

RUU PSB: Lakukan pindaan penting lindungi hak pemilik rumah - Hassan

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

ree

Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (RUU PSB) seharusnya dilakukan pindaan sebelum dibentangkan semula pada sesi Dewan Rakyat pada Oktober ini.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, Kerajaan Madani wajar meminda beberapa perkara teras dalam RUU berkenaan untuk memastikan ianya benar-benar melindungi kepentingan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terlibat dalam projek pembangunan semula bandar.


"Bagi projek pembangunan semula bandar yang melibatkan perobohan rumah, pemilik hendaklah menerima rumah baharu tanpa apa-apa bayaran.


"Satu rumah lama dapat satu rumah baru. Ini bagi memastikan pemilik tidak terbeban dengan hutang baru," katanya dalam kenyataan.


Sebaliknya, beliau mencadangkan ambang persetujuan pemilik bagi projek melibatkan perobohan rumah untuk dibangunkan semula rumah baru hendaklah kekal 100 peratus kerana ketika pemilik membeli rumah, mereka terikat dengan undang-undang perumahan sedia ada ketika itu, iaitu Akta Hakmilik Strata 1985 [Akta 318] di mana Seksyen 57 Akta 318 menetapkan 100 peratus persetujuan bagi penamatan skim strata.


"Waktu mereka membeli rumah Akta Pembaharuan Semula Bandar belum ada. Undang-undang mengenai hakmilik harta rakyat yang dijamin oleh Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan tidak wajar tertakluk pemakaian (kepada) akta yang baru secara retrospektif. Pemakaian undang-undang secara retrospektif bukan madani tetapi tirani," katanya.


Bagaimanapun, Hassan bersetuju ambang persetujuan boleh direndahkan kepada 80 peratus bagi projek penjanaan semula bandar atau penyegaran semula bandar yang tidak melibatkan perobohan rumah.


"Ini bermakna ambang persetujuan bukanlah berasaskan umur sesuatu bangunan tetapi berasaskan jenis projek pembaharuan semula bandar, sama ada pembangunan semula atau penjanaan semula ataupun penyegaran semula bandar," ujarnya.


Selain itu, beliau mahu RUU PSB itu memuktamadkan bahawa Akta Pengambilan Tanah 1960 tidak akan digunakan dalam pelaksanaannya.


Dalam pada itu, Hassan menekankan bahawa isu RUU PSB bukanlah soal kaum sebaliknya isu kelas.


"Penghuni rumah-rumah pangsa terdiri daripada rakyat golongan bawahan pelbagai kaum manakala para pemaju projek pembaharuan bandar merupakan kelas kapitalis kaya.


"Kerajaan menjadi golongan tengah, pemudahcara yang pada ketika RUU PSB dalam keadaan sekarang (pembentangan terdahulu) ini lebih condong memihak kepada golongan kelas kapitalis kaya," katanya.


Sehubungan itu, beliau menegaskan jika Kerajaan Madani benar-benar berpihak kepada rakyat bawahan, pindaan seperti dicadangkannya harus dilakukan sebelum dibentangkan semula untuk bacaan berikutnya di Dewan Rakyat dan diundi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page