RUU PSB: Di P Pinang, pembangunan semula flat Mahsuri untungkan Melayu
- Suara Keadilan
- Mar 19
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin mempelawa pengkritik Akta Pembaharuan Semula Bandar (Akta PSB) untuk datang ke kawasannya bagi menerangkan tentang projek Mahsuri di negeri Pulau Mutiara itu.
Beliau berkata, pihak pembangkang Perikatan Nasional (PN) giat mempertikaikan tentang cadangan RUU berkenaan dengan mendakwa orang Melayu bandar akan dihapuskan atau dipinggirkan namun hal itu tidak berlaku di Bayan Baru.
''Adakah ini benar? Biar fakta berbicara. Saya ingin mengambil contoh cadangan projek Pembangunan Semula Bandar Mahsuri di kawasan Parlimen Bayan Baru.
''Flat Mahsuri (6 blok lima tingkat) yang terletak di Lorong Mahsuri telah dibina pada awal tahun 1980an. Selepas 40 tahun, flat-flat kos rendah ini telah menjadi usang dan tidak sesuai untuk didiami. Ada satu blok lima tingkat telah dirobohkan kerana struktur tidak kukuh lagi.
''Flat-flat ini sekarang telah disewa kepada pekerja asing dan orang tempatan, orang Melayu (55%), orang Cina (35%) dan orang India (10%) pemilik asal telah memindah keluar satu per satu.
''Mengikut kajian terkini, 70 peratus penghuni sekarang adalah pekerja asing. Yang tinggal hanyalah golongan B40 dalam keadaan sangat daif.
''Realitinya, orang Melayu, Cina dan India miskin telah dipinggirkan tanpa Akta Pembangunan Semula,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Strategi KEADILAN itu turut menjelaskan bagaimana Akta PSB akan membantu memberi perumahan kepada penduduk tempatan terutamanya orang Melayu.
Katanya, dalam Projek Pembaharuan Semula Bandar Mahsuri, pemilik asal yang mempunyai flat seluas 350 kaki persegi diberi flat baru dengan keluasan 850 kaki persegi secara percuma.
''Blok baharu bukan lagi flat kos rendah tetapi perumahan mampu milik yang bernilai RM400,000 satu unit.
''Blok baharu juga siap dengan kemudahan lif, surau dan taman permainan. Setiap pemilik asal juga diberi satu petak letak kereta secara percuma.
''Selepas projek ini dilancarkan, Orang Melayu, Cina dan India menyokong penuh projek ini. Mereka mengharapkan Akta PSB akan mempercepatkan projek ini. Mereka tidak ingin menunggu lagi.
''Generasi kedua pemilik asal pula mengharapkan bahawa mereka boleh memindah balik ke kawasan Mahsuri untuk bersama ibu bapa mereka,'' katanya lagi.
Menurut Tze Tzin, tanpa Akta PSB, secara realitinya perumahan mereka didiami pekerja asing dan dengan adanya akta berkenaan, pemilik asal dan generasi kedua akan kembali ke tempat asal.
Meskipun keadaan itu agak ironi, namun katanya ia merupakan situasi sebenar.
''Maka, saya terpanggil untuk menegur politikus yang cuba menangguk di air keruh. Mereka bermotif politik yang tidak baik. Mereka hanya menyusahkan orang miskin dari pelbagai kaum.
''Saya juga ingin menyeru penduduk tempatan menilai sendiri. Tolak parti-parti yang menghalang mereka ke arah kehidupan yang lebih baik,'' seru beliau.
Comments