RUU PSB: 108 sesi libat urus dilaksana, tiada wakil pembangkang hadir
- Suara Keadilan

- Aug 28
- 1 min read

Kerajaan telah mengadakan sebanyak 108 sesi libat urus dan penerangan mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 bersama pelbagai pihak berkepentingan, namun tiada seorang pun wakil pembangkang hadir meskipun dijemput secara rasmi.
Sepanjang sesi yang melibatkan badan profesional, persatuan penduduk serta tokoh akademik itu, semua persoalan dijawab manakala kebimbangan turut diberi ruang untuk dibincangkan.
Malah, lawatan tapak juga telah dianjurkan pada Mei lalu bagi membolehkan Ahli Parlimen melihat sendiri kawasan yang terlibat.
Fakta ini sekali gus menafikan dakwaan pembangkang kononnya RUU PSB masih perlu ditangguhkan bagi tujuan perbincangan lanjut.
Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Datuk Dr Alias Rameli berkata, kerajaan tidak pernah menutup pintu dialog malah proses rundingan yang dijalankan dianggap cukup komprehensif.
"Kita tidak nampak mengapa perlu lagi penangguhan sesi sidang Dewan Rakyat kerana kita rasa telah melalui proses rundingan dan sesi libat urus yang cukup bagi memenuhi sebahagian besar kehendak.
"Cuma ada beberapa NGO yang memberi pandangan tertentu," katanya pada sidang media.
Alias turut menjelaskan bahawa RUU PSB 2025 tiada kaitan dengan RUU Sewaan Kediaman malah tidak menyentuh kuasa negeri dalam urusan tanah serta perancangan bandar.
Beliau menjelaskan isu tanah kekal di bawah bidang kuasa negeri dan semua tapak pembangunan yang dikenal pasti datang daripada negeri sendiri.
Sehingga kini, sebanyak 534 tapak telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri dan dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
RUU PSB akan dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat pada sesi kali ini dan akan diluluskan sekiranya tiada tambahan kepada akta itu dimasukkan.









Comments