top of page

RUU Perubahan Iklim Negara bakal dibentang ke Parlimen

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Kerajaan MADANI dijangka akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara untuk bacaan kali pertama pada sidang Parlimen kali ini sebagai langkah memperkukuh tadbir urus perubahan iklim negara.


Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh (gambar) berkata, RUU berkenaan juga merupakan inisiatif penting dalam menyokong komitmen pengurangan karbon Malaysia kini berada di peringkat akhir kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan yang sedang dimuktamadkan.


"Dasar tersebut dirangka bagi membangunkan kerangka perdagangan karbon yang inklusif, seiring dengan penggubalan RUU Perubahan Iklim Negara.


"Dengan adanya dasar dan RUU ini, ia akan memberikan mandat perundangan kepada kerajaan untuk mengawal selia pelepasan gas rumah hijau serta pelaksanaan perdagangan karbon di peringkat antarabangsa," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Selasa.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Ledang sementara itu berkata, RUU dan dasar berkenaan turut memperkukuh instrumen pasaran serta tadbir urus perubahan iklim selari komitmen pengurangan karbon Malaysia, termasuk bawah Artikel 6 Perjanjian Paris.


Selain itu, pelaksanaannya juga menyumbang kepada sasaran Sumbangan Ditentukan Negara (NDC) serta menyokong aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab perdagangan karbon di peringkat serantau.


Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan mengenai potensi Malaysia sebagai hab perdagangan karbon serantau, beliau memaklumkan kementeriannya telah mengadakan 13 sesi libat urus bersama kerajaan negeri.


Beliau turut menegaskan, sesi libat urus dengan pihak industri dan NGO akan diteruskan bagi memastikan pelaksanaan pasaran karbon serta Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan dapat difahami dengan jelas.


"Pasaran karbon adalah perkara baharu. Kita perlu memastikan industri dan rakyat memahami manfaatnya kepada negara serta ekonomi hijau yang mampan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page