RUU Perubahan Iklim disemak, dibentang ke Parlimen Ogos ini
- Suara Keadilan
- May 30
- 1 min read

Kerajaan Persekutuan dijangka membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan Perubahan Iklim Negara di Parlimen pada Ogos ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Datuk Dr Ching Thoo Kim berkata, draf RUU tersebut kini sedang disemak oleh Jabatan Peguam Negara.
"Pembentangan asal dirancang pada Jun tetapi ditangguhkan bagi memberi ruang untuk penambahbaikan dan pemurnian kerana RUU ini melibatkan sesi rundingan bersama kerajaan-kerajaan negeri memandangkan ia berkait dengan bidang kuasa negeri," katanya dipetik.
Beliau sebelumnya ditemui media selepas merasmikan Jelajah Kelestarian Alam 2.0 di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada Khamis.
Sementara itu tambahnya, walaupun sesi rundingan awal sudah selesai, pihaknya tetap komited untuk mengadakan sesi rundingan lain bersama kerajaan negeri bagi mendapat maklumat berterusan.
Sebagai rekod, Kerajaan sudah menetapkan sasaran untuk mencapai pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang tahun 2050 sebagai komitmen terhadap usaha menangani perubahan iklim.
RUU Perubahan Iklim Negara dirangka untuk menumpukan langkah mitigasi untuk pengurangan pelepasan gas rumah kaca dan langkah adaptasi terhadap kesan perubahan iklim termasuk peningkatan suhu dan paras laut.
Comments