top of page

RUU Perolehan Kerajaan pastikan wang rakyat diurus dengan telus

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 31
  • 2 min read

ree

Oleh: Azuan Ab Rahman


Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK) merupakan langkah reformasi tadbir urus penting bagi meningkatkan integriti dan ketelusan negara.


Biro Guaman & Aduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia menerusi satu kenyataan menegaskan, RUU itu bukan ancaman kepada mekanisme semak imbang seperti didakwa sesetengah pihak.


"RUU ini memperkenalkan larangan tegas terhadap campur tangan, intimidasi dan pengaruh tidak wajar dalam perolehan kerajaan, dengan hukuman berat sehingga RM500,000 atau lima tahun penjara.


"Setiap pembekal, kontraktor dan pegawai terlibat diwajibkan membuat pengisytiharan kepentingan, manakala keputusan tender diumumkan secara terbuka melalui portal MyProcurement.


"Buat pertama kali, urusan perolehan kerajaan diletakkan di bawah kerangka undang-undang bertulis, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekeliling dan arahan pentadbiran yang lebih mudah dipintas sebelum ini," kata ketuanya, Khairul Naim Rafidi (gambar).


Menerusi kenyataan sama Khairul Naim turut menolak andaian bahawa RUU berkenaan memberi kuasa mutlak kepada Menteri Kewangan atau Ketua Menteri Negeri yang akan membuka ruang skandal berskala besar.


Beliau menegaskan bahawa undang-undang baharu tersebut sebenarnya menyediakan lapisan kawalan lebih ketat berbanding sistem sedia ada.


"RUU ini juga dikritik berkaitan penubuhan Tribunal Rayuan yang didakwa tidak bebas, realitinya tribunal ini adalah satu bentuk mekanisme rayuan yang tidak pernah wujud sebelum ini, memberikan ruang semakan rasmi terhadap keputusan perolehan.


"RUU ini turut memasukkan integriti sebagai asas proses, termasuk penggunaan Integrity Pact dan garis panduan anti-tipuan bida untuk memastikan persaingan terbuka dan adil," tegasnya.


Mengulas tuduhan bahawa RUU ini digubal secara tergesa-gesa beliau menjelaskan, ia sebenarnya tidak tepat.


RUU PK tegasnya telah diumumkan sejak Ucapan Belanjawan 2024 dan melalui beberapa siri libat urus bersama kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, badan berkanun dan pelbagai agensi sebelum dibawa ke Dewan Rakyat.


"Proses bacaan, perbahasan, undian dan peringkat jawatankuasa telah berjalan secara tertib dan mengikut saluran perundangan. RUU ini turut mengekalkan dasar penting seperti Dasar Barangan Tempatan, Keutamaan Bumiputera dan Perolehan Hijau bagi memacu pembangunan industri tempatan.


"Ia turut memperkenalkan penggunaan Integrity Pact dan garis panduan anti-tipuan bida untuk memastikan persaingan terbuka serta adil," tegasnya.


Justeru katanya, RUU Perolehan Kerajaan bukan undang-undang yang melemahkan semak imbang, sebaliknya sebahagian daripada agenda Malaysia MADANI untuk memastikan wang rakyat diurus dengan telus, berhemat dan bebas ketirisan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page