RUU Pendaftaran: Selesaikan masalah rakyat tanpa dokumen pengenalan diri
- Suara Keadilan
- 14 minutes ago
- 2 min read

Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Pendaftaran Negara 1959 (Akta 78) amat baik dalam memastikan rakyat Malaysia direkodkan pengenalan diri menggunakan teknologi paling moden.
Bagaimanapun bagi Ahli Dewan Negara, Senator Abun Sui Anyit (gambar), pindaan RUU itu seharusnya menjadi titik tolak kepada penyelesaian menyeluruh isu kewarganegaraan dan rakyat tanpa dokumen di negara ini yang berlarutan sejak berdekad lalu terutama di Malaysia Timur.
"Pindaan ini adalah penting kerana ia memperkukuh mekanisme pendaftaran, pemantapan kawalan dokumen pengenalan diri serta memperkenalkan aspek keselamatan baharu melalui penggunaan data biometrik.
"Namun dalam semangat reformasi dan prinsip Keluarga Malaysia MADANI, saya ingin menegaskan bahawa masalah besar yang dihadapi rakyat hari ini bukan sahaja berkaitan aspek teknikal pendaftaran atau kawalan dokumen, tetapi lebih kepada masalah ketiadaan dokumen pengenalan diri," katanya dalam kenyataan.
Abun Sui berkata masalah yang dihadapi bukan sekadar isu teknologi, sebaliknya melibatkan nasib ribuan individu di pedalaman Sarawak, Sabah serta kawasan luar bandar lain yang masih hidup tanpa dokumen pengenalan diri.
"Mereka bukan pendatang, mereka tidak mempunyai tanah air lain, tetapi kerana kekangan sistem dan kelemahan pentadbiran, mereka terus terpinggir," ujarnya.
Beliau berkata, ketiadaan dokumen menyebabkan golongan tersebut tidak dapat bersekolah, gagal mendapat rawatan kesihatan sewajarnya, sukar bekerja dengan sah dan terus tersisih daripada arus pembangunan negara.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan untuk melaksanakan penyelesaian komprehensif bagi memastikan semua yang lahir dan membesar di Malaysia tidak terus dinafikan hak kewarganegaraan; memudahkan akses pendaftaran kelahiran dan pengeluaran MyKad dengan sistem lebih adil, telus dan proaktif; serta menjamin hak asasi rakyat tanpa dokumen agar mereka tidak terpinggir daripada pendidikan, kesihatan dan peluang hidup bermaruah.
"RUU Pendaftaran Negara yang dipinda ini seharusnya menjadi satu titik tolak kepada reformasi lebih besar dalam menyelesaikan masalah identiti nasional, bukan hanya menambah kuasa teknikal kepada kementerian," tegasnya.
Ketua Cabang KEADILAN Hulu Rajang itu menambah, Malaysia tidak boleh membiarkan rakyatnya terus dianggap “tidak berasal dari mana-mana negara di dunia” hanya kerana isu dokumen.
"Masa depan negara kita tidak boleh ada rakyat yang dianggap “tidak berasal dari mana-mana negara di dunia”. Malaysia mesti memastikan setiap anak yang lahir di bumi ini diiktiraf dan dihargai sebagai warganegara," katanya lagi.
Untuk rekod, Rang Undang-undang Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 telah diluluskan pada 27 Ogos lalu selepas sesi Perbahasan dan Penggulungan Bacaan Kedua di Dewan Rakyat.
Pindaan ini mencerminkan komitmen Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk memperkukuh sistem pendaftaran negara yang lebih cekap, telus dan inklusif. Hal ini selaras dengan semangat Reformasi MADANI yang mengutamakan ketelusan pentadbiran, kesejahteraan rakyat dan pengukuhan kedaulatan negara.