RUU Pemisahan Kuasa: Tindakan 10 Ahli Parlimen KEADILAN ditegur
- Suara Keadilan

- 1d
- 2 min read

Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) kecewa dengan tindakan 10 Ahli Parlimen KEADILAN yang memberi kata dua menolak atau berkecuali dalam proses pengundian rang undang-undang (RUU) pemisahan kuasa Peguam Negara.
Pengerusi BBC, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (gambar) berkata kumpulan itu seharusnya terlebih dahulu menyertai perbincangan dan perbahasan RUU secara teratur di Dewan Rakyat.
"Saya kecewa dengan tindakan mereka walaupun saya faham dengan kebimbangan mereka.
"Ramai lagi Ahli Parlimen yang mempunyai pandangan masing-masing yang saya kira seharusnya dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibincang dan dibahaskan dengan lebih teratur," katanya dipetik.
Dr Zaliha turut memaklumkan, sesi taklimat mengenai RUU itu telah dilaksana pada 23 Februari lalu oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia (Undang-undang dan Reformasi Institusi).
"Beberapa perkara berkaitan RUU tersebut telah dijelaskan Datuk Seri Azalina Othman Said dan Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar)," tambah Dr Zalina.
Terdahulu, kumpulan Ahli Parlimen diketuai Datuk Seri Rafizi Ramli menggesa kerajaan mempertimbangkan semua cadangan syor penambahbaikan terhadap RUU itu atau mereka akan berkecuali dari mengundi usul tersebut.
Berdasarkan laporan media, usul yang mahu dibawa kerajaan itu antara lain apabila diluluskan akan menyaksikan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai sebarang peranan dalam proses pelantikan Pendakwa Raya.
Pelantikan itu sebaliknya bergantung sepenuhnya kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong selepas dicalonkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) dan diluluskan Majlis Raja-raja.
Sementara itu, Dr Zaliha sebagai mengulas kekhuatiran 10 Ahli Parlimen itu berkata Jemaah Menteri juga sewajarnya mengambil serius semua pandangan mereka,.
"Apapun saya kira Jemaah Menteri harus mengambil serius tentang semua pandangan Ahli-Ahli Parlimen, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang terutama pandangan yang dilontarkan ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 3 Mac kelak.
"Begitu juga di Dewan Negara sebelum mengambil tindakan tuntas berkenaan isu ini," katanya.




Comments