top of page

RUU Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dibentang di Dewan Rakyat

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
6 hours ago
1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Pembangunan Sukan (Pindaan) 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.


Menteri Belia dan Sukan (KBS), Dr Mohammed Taufiq Johari (gambar) berkata, RUU tersebut memberi penekanan kepada pengukuhan tadbir urus dan penguatkuasaan dalam sektor sukan.


Ia sekaligus memastikan kerangka perundangan berkaitan pembangunan sukan kekal relevan dengan perkembangan ekosistem sukan negara.


Menurut naskhah biru RUU disiarkan di portal Parlimen, pindaan membabitkan Akta Pembangunan Sukan 1997 (Akta 576) serta melibatkan beberapa perkara berkaitan pengurusan badan sukan.


Antaranya termasuk pengurusan dan pelupusan harta serta liabiliti badan sukan yang pendaftarannya dibatalkan bagi melindungi kepentingan pemiutang dan pihak berkepentingan.


Pindaan turut mencadangkan kuasa kepada menteri untuk membuat peraturan berkaitan pematuhan kewajipan antarabangsa mengenai antidoping serta perkara berkaitan keselamatan dalam sukan.


Ia turut mencadangkan kuasa menteri untuk mengisytiharkan sesuatu badan sukan sebagai menyalahi undang-undang jika badan itu digunakan bagi tujuan yang memudaratkan atau bertentangan dengan kepentingan keselamatan Malaysia, ketenteraman awam atau moral.


Melalui pindaan tersebut, badan sukan tidak boleh menukar nama, tempat urusan, alamat berdaftar atau alamat surat-menyurat tanpa mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan terlebih dahulu.


Sebarang pindaan terhadap perlembagaan atau kaedah badan sukan juga memerlukan kelulusan Pesuruhjaya Sukan dan kegagalan mematuhi ketetapan itu boleh menjadi suatu kesalahan.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page