RUU Optometri bakal dibentang Oktober ini - Dr Dzulkefly
- Suara Keadilan
- 1 day ago
- 1 min read

Rang Undang-Undang (RUU) Optometri dijangka dibentangkan di Parlimen pada Oktober ini bagi meningkatkan dan mengawal selia seluruh aspek profesion optometris di Malaysia.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, RUU tersebut merupakan satu undang-undang khusus yang akan mengawal selia secara menyeluruh aspek amalan, latihan, pendaftaran serta skop tugas profesion optometris di Malaysia.
"RUU ini sangat penting untuk mengangkat martabat profesion optometris sebagai bidang kerjaya yang profesional, bertauliah, selamat dan berkesan.
"Ia akan turut dijangka meliputi aspek jualan produk optik secara dalam talian serta penguatkuasaan dan penalti bagi menjamin keselamatan pengguna," katanya dipetik.
Beliau berkata begitu kepada pemberita majlis pelancaran Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Mata Primer bagi Profesion Optometris di Putrajaya pada Selasa.
Pelancaran garis panduan itu merupakan langkah strategik ke hadapan untuk amalan optometris swasta beretika, berasaskan bukti dan selamat
Sementara itu Dr Dzulkefly berkata, Optometris tidak hanya menangani masalah berkaitan penglihatan tetapi juga sebagai barisan hadapan dalam mengenal pasti penyakit tidak berjangkit (NCD) lain berkaitan mata seperti diabetes, hipertensi, glaukoma dan penyakit retina lain.
Bagaimanapun jelasnya, Malaysia masih belum mencapai piawaian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu satu optometris bagi setiap 10,000 penduduk.
"Malaysia hanya mampu melatih kira-kira 200 optometris setiap tahun yang memerlukan pembangunan tenaga kerja secara strategik dari sudut latihan dan perluasan kapasiti.
"Ini sedikit sebanyak menjejaskan keupayaan sistem kesihatan untuk memberikan akses yang berkualiti dan saksama kepada rawatan mata untuk rakyat," jelasnya.
Комментарии