Oleh: Akmal Manaf
Rang Undang-Undang (RUU) Majlis Media Malaysia (MMM) akan dibentangkan di Dewan Rakyat minggu depan, umum Fahmi Fadzil.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata, perkara berkenaan telah diluluskan Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang berlangsung pada hari ini.
"Sekiranya ada masa, ia akan dibahas dan dibuat bacaan kedua dalam mesyuarat kali ini.
"Jika tidak, ia telah disenaraikan untuk dibahas dalam mesyuarat yang akan datang," katanya.
Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media mingguan pasca Mesyuarat Kabinet, di Putrajaya, hari ini.
MMM apabila ditubuhkan kelak bertanggungjawab untuk membangunkan dan melaksanakan kod etika pelaporan yang dapat memperkasakan profesion kewartawanan negara dan dalam masa yang sama, memastikan pelaporan berita yang dilakukan oleh media dilakukan secara bertanggungjawab.
Fungsi MMM juga termasuk menggalakkan komunikasi antara pengamal media, kerajaan dan orang awam secara amnya serta menyokong pembangunan profesional wartawan dan organisasi media.
Comments