top of page

RUU khas bakal lindungi 1.2 juta pekerja gig – Nurul Izzah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 25
  • 2 min read

Nurul Izzah dan Steven Sim berbincang untuk menangani nasib pekerja gig secepat mungkin
Nurul Izzah dan Steven Sim berbincang untuk menangani nasib pekerja gig secepat mungkin

Timbalan Presiden KEADILAN Nurul Izzah Anwar menyifatkan usaha kerajaan menggubal Rang Undang-Undang (RUU) khas bagi melindungi pekerja ekonomi gig sebagai satu permulaan baharu untuk lebih 1.2 juta rakyat Malaysia yang bergantung kepada sektor tersebut.


Beliau mendedahkan perbincangan bersama Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong yang berhasrat mempercepatkan kelulusan RUU itu selepas melalui lebih 4,000 sesi libat urus dengan pelbagai pihak, meskipun berdepan cubaan pihak tertentu untuk menggagalkan inisiatif berkenaan.


"Semasa Covid-19 dahulu, pekerja gig menjadi barisan hadapan tidak rasmi, siang malam meredah hujan panas demi memastikan ada makanan di atas meja kita.


"Tanpa mereka, banyak bisnes F&B (makanan dan minuman) mungkin sudah gulung tikar. Mereka ada maruah dan masa depan, maka perlu dibela," katanya dalam hantaran di Facebook.


Menurut Nurul Izzah terdapat tiga masalah besar sering dialami pekerja gig yang mesti ditangani segera melalui perundangan iaitu perlindungan keselamatan sosial.


"Ramai pekerja gig tidak mampu membeli insurans, menyebabkan keluarga terhimpit apabila berlaku kemalangan.


"Sebab itu dalam RUU ini Steven meletakkan syarat wajib semua pekerja gig dilindungi Perkeso tanpa pengecualian," ujarnya.


Nurul Izzah berkata pekerja gig berdepan risiko akaun digantung hanya kerana laporan tidak munasabah daripada pelanggan, tanpa mekanisme rayuan.


"Saya pernah cadang penubuhan tribunal khas. Apa-apa masalah boleh dibawa ke tribunal. Jika syarikat besar enggan patuh, kenakan denda berat," ujarnya.


Jelasnya pekerja gig juga perlu mempunyai hak rundingan harga memandangkan pada masa ini semua kadar ditentukan syarikat tanpa rundingan dengan pekerja.


Beliau juga mencadangkan penubuhan majlis khas tiga pihak melibatkan kerajaan, syarikat dan wakil pekerja gig supaya keputusan lebih adil dan pekerja mempunyai suara dalam penentuan dasar.


Katanya langkah ini selaras dengan model antarabangsa seperti Telangana, India yang menyamakan sistem gig tanpa perlindungan undang-undang dengan “perhambaan moden”.


"Ini adalah permulaan penting untuk mengiktiraf 1.2 juta pekerja gig dalam undang-undang perburuhan negara.


"Syukur Alhamdulillah, akhirnya menteri setuju masukkan butiran-butiran penting sebegini dalam RUU. Insya-Allah, usaha ini akan menjamin masa depan mereka," kata Nurul Izzah.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page