top of page

RUU Jenayah Siber bakal dibentangkan - Dr Zahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 19 hours ago
  • 2 min read


Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen bulan depan bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 (Akta 563).


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerugian akibat penipuan dalam talian mencecah lebih RM2.9 bilion tahun lalu, meningkat lebih 86 peratus berbanding 2024, sekali gus membuktikan keperluan mendesak terhadap undang-undang yang lebih kukuh dan relevan.


Justeru jelasnya, penggubalan RUU Jenayah Siber itu bakal menutup kelompangan undang-undang sedia ada dalam menangani ancaman jenayah siber, di samping memperkasa keupayaan penguatkuasaan serta melindungi keselamatan siber negara dan hak pengguna di ruang digital.


"RUU ini mengambil pendekatan yang lebih holistik dan terkini dengan memasukkan peruntukan yang merangkumi kedua-dua kategori jenayah siber, iaitu jenayah berbantu siber dan jenayah bersandarkan siber," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Rabu.


RUU berkenaan tegasnya bakal menekankan prinsip ‘technology-neutral’ sebagaimana yang diterapkan dalam Konvensyen Budapest dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).


Sementara itu Dr Ahmad Zahid turut mengingatkan kepada bahaya penyalahgunaan teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) dan teknologi deepfake.


Tegasnya, penyalahgunaan teknologi itu yang bukan sahaja memperdaya mangsa, malah berpotensi mengancam kestabilan negara melalui penyebaran maklumat palsu dan peperangan maklumat, sebagaimana yang berlaku dalam konflik Rusia-Ukraine.


Justeru, bagi memperkukuh keselamatan digital negara, kerajaan jelasnya telah menguatkuasakan Akta Keselamatan Siber 2024 selain bersetuju menubuhkan Pusat Pembangunan Keselamatan Siber dan Kriptologi (CSCDC) sebagai teras kepada ekosistem keselamatan siber negara.


"Bagi menjamin keselamatan dan kedaulatan digital negara, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri, sedang menyelaraskan pelbagai tindakan merangkumi teknologi AI, awan berdaulat (sovereign cloud) dan keselamatan pasca-kuantum.


"Ia termasuk pembangunan Garis Panduan Keselamatan Siber AI berlandaskan prinsip ‘secure-by-design’, serta usaha memperkukuh keselamatan kriptologi dan kesiapsiagaan pasca-kuantum melalui kerjasama dengan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia (PTPKM)," tambahnya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page