RUU anti amalan 'Ali Baba' dibentangkan tahun depan


Kerajaan MADANI dijadualkan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) berkaitan anti-rent seeking atau amalan 'Ali Baba' di Parlimen tahun depan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pindaan perundangan tersebut dilaksanakan bagi membanteras amalan yang menjejaskan kecekapan pasaran, mewujudkan persaingan tidak sihat serta membantutkan pertumbuhan produktiviti negara.
Menurut beliau, kajian mengenai perkara itu sedang dijalankan bagi menyediakan kerangka kawal selia yang berkaitan.
"Kajian Kementerian Ekonomi mendapati terdapat Undang-undang Kecil (UUK) sedia ada di peringkat PBT yang terkait dengan aktiviti Ali Baba khususnya berkaitan dengan larangan pemindahan lesen di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Terdapat kekangan dalam undang-undang sedia ada yang dilihat tidak mampu membendung amalan rent seeking.
"Kajian sama juga menunjukkan isu rent-seeking berupaya menjejaskan kecekapan sosio ekonomi negara disebabkan ketirisan di dalam pemberian lesen, kontrak, kemudahan dan sebagainya," katanya dipetik di Dewan Rakyat pada Rabu.
Mengulas lanjut beliau berkata, kerangka kawal selia yang dibangunkan akan membabitkan pembangunan dasar, strategi dan inisiatif yang lebih komprehensif bagi menangani amalan 'Ali Baba' secara berkesan.
Antara pendekatan yang sedang diteliti ialah penggubalan undang-undang baharu khusus berkaitan anti rent-seeking atau pindaan kepada peruntukan undang-undang sedia ada berkaitan.
Bagaimanapun menurutnya, perkara tersebut bergantung pada hasil kajian dan proses penyelarasan antara pihak berkepentingan.




Comments