top of page

Russia diminta hentikan segera serangan ke atas Ukraine



Serangan Russia ke atas negara berdaulat Ukraine yang masuk hari ketiga dan hampir menawan ibu kota negara itu tidak sewajarnya berlaku dalam era moden dan bertamadun.


Sehubungan itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia bagi Hal Ehwal Antarabangsa mengecam serangan Russia yang sehingga kini telah mengorbankan 137 orang serta 300 kecederaaan di pihak awam dan tentera Ukraine.


"Dunia berkabung dengan rakyat Ukraine yang begitu berani berdiri untuk menentang segala kemungkinan untuk mempertahankan tanah berdaulat mereka.


"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia untuk Hal Ehwal Antarabangsa menyuarakan kebimbangan kami yang paling mendalam mengenai pencerobohan dan pencabulan hak asasi manusia sedemikian yang tidak mempunyai tempat di mana-mana di dunia pada abad ke-21, terutamanya ketika perjuangan menentang pandemik Covid-19 masih belum berakhir.


"Adalah amat dikesali dalam masa dan zaman yang boleh dilakukan dialog untuk mencapai persetujuan damai, Presiden Vladimir Putin memilih kekejaman dan permusuhan ke atas negara yang telah menderita sejak beberapa dekad," kata mereka dalam kenyataan hari ini.


Jawatankuasa itu juga memberi amaran bahawa pencerobohan Russia ke barat sungai Dnieper berhampiran loji janakuasa nuklear Chernobyl boleh mengakibatkan bahaya kebocoran radiasi yang memberi dampak kesihatan yang membimbangkan ke seluruh Eropah.


"Jangan sampai kita lupa tahap dan magnitud bencana nuklear terbesar dalam sejarah (kebocoran radiasi pada 1980an) dan kesan buruk kesihatannya terhadap lelaki, wanita dan kanak-kanak yang tidak bersalah yang telah terdedah kepadanya bertahun-tahun yang lalu.


"Tindakan menyerang Ukraine ini juga telah melanggar undang-undang antarabangsa, protokol hak asasi manusia dan Perjanjian Minsk.


"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Malaysia akan mengadakan mesyuarat minggu depan apabila Parlimen bersidang dan akan menjemput Wisma Putra untuk taklimat mengenai kedudukan Malaysia dalam hubungan diplomatiknya dengan Rusia dan Ukraine dan langkah ke hadapan berkenaan tindakan yang paling merosakkan ini," katanya.


Menurut jawatankuasa itu lagi, mereka akan membuat kunjungan hormat kepada Duta Besar Ukraine ke Malaysia, Olexander Nechyaylo untuk menyatakan kebimbangan mengenai situasi ketidaktentuan yang tidak terhingga juga mengenai keselamatan dan nasib rakyat Ukraine


"Kami menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dan Menteri Luar Datuk Sri Saifuddin Abdullah, mewakili suara rakyat Malaysia yang prihatin, dan sebagai ahli Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) untuk membuat pendirian menyeru tindakan kezaliman dan penindasan oleh Persekutuan Rusia ke atas Ukraine ini dihentikan segera," kata mereka lagi.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Ahli Parlimen Pulai), Datuk Seri Panglima Hajah Azizah binti Datuk Seri Panglima Mohd Dun (Ahli Parlimen Beaufort), Datuk Haji Che Abdullah bin Mat Nawi (Ahli Parlimen Tumpat), Datuk Seri Tiong King Sing (Ahli Parlimen Bintulu), Sim Tze Tzin (Ahli Parlimen Bayan Baru), Kasthuriraani a/p Patto (Ahli Parlimen Batu Kawan) dan Awang Husaini bin Sahari (Ahli Parlimen Putatan).





0 comments

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page