top of page

Rundingan tarif: Pembangkang jangan jadi musuh dalam selimut

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Aug 5
  • 2 min read

ree

Ketua Penerangan Angkatan Muda HARAPAN, Ammar Atan (gambar), hari ini menyelar tindakan berterusan pembangkang yang didakwa sengaja mahu melihat Malaysia gagal dalam rundingan perdagangan antarabangsa, khususnya dengan Amerika Syarikat (AS).


Dalam kenyataan medianya, Ammar menegaskan bahawa pembangkang Perikatan Nasional (PN) langsung tidak menunjukkan semangat kenegaraan apabila terus mengecam pasukan perunding Malaysia walaupun kejayaan telah dicapai.


"Apabila AS menaikkan tarif ke atas produk Malaysia ke 25%, pembangkang mengutuk kebolehan pasukan perunding negara yang terdiri daripada penjawat awam senior dan diketuai oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz


"Namun, apabila tarif berjaya diturunkan ke 19% dan antara yang terendah di ASEAN, pembangkang tetap meneruskan kutukan," katanya.


Ammar menyifatkan tindakan itu sebagai tidak patriotik dan membuta tuli, terutamanya apabila ada dakwaan kononnya Malaysia telah “menggadaikan kedaulatan negara” dalam rundingan tersebut.


Beliau turut menempelak Pemuda PN dan pemimpin Bersatu, Wan Fayhsal, yang didakwa menyebarkan berita palsu mengenai kononnya Kerajaan MADANI telah melonggarkan standard halal bagi daging import dari Amerika Syarikat.


"Ini tidak benar sama sekali. Malaysia hanya bersetuju untuk memudahcara proses import, dan semua daging masih perlu menepati piawaian ketat JAKIM. Ini adalah proses yang sama untuk semua negara," jelas Ammar.


Beliau turut menafikan dakwaan berhubung eksport nadir bumi ke Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan Kerajaan Persekutuan. Menurut Ammar, tiada perjanjian eksklusif dimeterai berkenaan perkara itu sama ada dalam rundingan tarif atau di luar rundingan.


Sebagai contoh, beliau memetik langkah Kerajaan Negeri Perlis yang ditadbir Pas membentuk kerjasama dengan syarikat milik taikun Vincent Tan bagi membangunkan industri nadir bumi.


"(Setelah dilombong) jika mereka mahu menjual kepada Amerika Syarikat, itu adalah hak mereka walaupun rakyat Perlis boleh memprotes," katanya.


Sehubungan itu, Ammar menyeru semua pihak untuk mendengar penjelasan Tengku Zafrul dan Kerajaan MADANI dengan hati yang terbuka.


Secara keseluruhannya, kata beliau, rundingan ini dalam situasi “menang-menang”. Apa yang ditawarkan kepada Amerika Syarikat hanyalah imbangan dagangan dan tidak sama sekali sekali menjual kedaulatan negara.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page