Pakatan Harapan (PH) bersama Warisan dan Bersatu yang mengadakan rundingan bagi membentuk Kerajaan Persekutuan baharu petang tadi walaupun tidak mencapai sebarang keputusan, bersetuju untuk mengadakan beberapa siri rundingan lanjut.
Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh pemimpin-pemimpin tertinggi PH dan rakan sekutu, rundingan yang diadakan selama dua jam itu berjalan dalam suasana positif namun sedikit masa diperlukan untuk mengambil keputusan muktamad.
"Pimpinan PH telah mengadakan mesyuarat bersama Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Shafie Apdal hari ini, yang dipengerusikan oleh DS Anwar Ibrahim.
"Mesyuarat hari ini telah menyaksikan perbincangan secara menyeluruh tentang pendirian setiap parti dan menampakkan kemajuan yang amat positif.
"Proses memuktamadkan segala keputusan akan dilakukan dalam masa seminggu ini," kata kenyataan bersama itu.
Difahamkan rundingan berlegar isu pembentukan kerajaan pusat baharu dan isu calon Perdana Menteri.
Kenyataan bersama tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim (KEADILAN), Mohamad Sabu (AMANAH), Lim Guan Eng (DAP), Tun Dr Mahathir Mohamad (BERSATU) dan Datuk Seri Shafie Apdal (WARISAN)
Comments