Rundingan lantik Ketua Hakim Negara perlu ikut proses undang-undang
- Suara Keadilan
- Jul 17
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah rundingan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak perlu mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.
Baginda bertitah, perkara itu ditekankan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dipengerusikan baginda di Istana Negara semalam.
"Antara agenda utama yang dibincangkan adalah berkaitan rundingan bagi pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta hakim-hakim mahkamah atasan.
"Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan," titah baginda dalam kenyataan melalui hantaran di Facebook Selangor Royal Office hari ini.
Sultan Sharafuddin bertitah baginda menyokong penuh kenyataan Istana Negara pada 10 Julai lalu yang menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh melantik Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan jawatan penting yang lain dalam badan kehakiman setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
"Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara," titah baginda.
Sehubungan itu, Sultan Selangor menitahkan agar semua pihak mengelakkan daripada membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara.
Terdahulu dalam titahnya Sultan Sharafuddin merakamkan kesyukuran kepada Allah kerana mesyuarat Majlis Raja-Raja yang dipengerusikan baginda berjalan dengan baik.
"Alhamdullilah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar," titah baginda.
Comments