
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mahu beberapa kerusi Parlimen dan DUN dalam kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.
Pemimpin PSM, S Arutchelvan berkata, kerusi parlimen Sungai Siput antara yang dibincangkan dalam pertemuan antara wakil parti itu dan wakil PH pagi tadi.
"Kita mengatakan hasrat kita. Mesyuarat tadi bagus. Apa yang kita minta terutama Sungai Siput mereka akan bawa kepada Majlis Presiden.
"Kita meletakkan Sungai Siput, pasal kita rasa Dr Jeyakumar adalah winnable candidate. Semalam saya di Sungai Siput, kemungkinan besar Presiden MIC akan bertanding. Kerana banner di sana gambar presiden MIC," katanya kepada wartawan selepas mesyuarat di ibu Pejabat KEADILAN, di petaling Jaya.
Beliau berkata sekiranya PH setuju maka Dr Jeyakumar Devaraj dilihat mempunyai kekuatan kerana beliau yang mula mula memenangi kerusi berkenaan di atas tiket Pakatan Rakyat pada 2008 lalu menewaskan Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu.
"Kita rasa Dr Jeyakumar ada nama baik. PSM juga lakukan kerja akar umbi di komuniti petani di Tambun, pekerja ladang, isu peneroka bandar dan kita juga tumpu peringkat nasional," katanya.
Beliau berharap 4 pemimpin utama PH akan membuat keputusan segera.
Selain Sungai Siput, PSM juga meminta beberapa kerusi lain tetapi di kawasan bukan dipertahankan PH dan agak tipis peluang untuk menang.
Kerusi Sungai Siput disandang oleh S Kesavan dari KEADILAN yang memenangi kerusi itu dalam PRU 14 lalu.