Rundingan gencatan senjata: 'Apabila ASEAN bersatu, suaranya dihormati'
- Suara Keadilan

- Jul 30
- 1 min read

Malaysia terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemimpin diplomatik serantau apabila berjaya menganjurkan rundingan gencatan senjata yang bersejarah antara dua negara ASEAN, Thailand dan Kemboja yang berbalah.
Kejayaan ini dilihat sebagai satu pencapaian besar dalam peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025, membuktikan bahawa ASEAN kini bukan lagi sekadar pemerhati dalam konflik serantau, malah merupakan pemain utama dalam mencorak keamanan dan kestabilan di Asia Tenggara.
Timbalan Ketua Cabang KEADILAN Kepong, Jeremy Ang berkata, kejayaan rundingan itu adalah isyarat jelas bahawa pendekatan diplomatik Malaysia diterima baik oleh komuniti antarabangsa.
"Malaysia konsisten menjunjung prinsip ‘ASEAN Centrality’ dan semangat Zone of Peace, Freedom, and Neutrality (ZOPFAN).
"Kejayaan ini membuktikan bahawa apabila ASEAN bersatu, suara kita bukan sahaja didengar tetapi juga dihormati," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah beliau, kehadiran pemerhati dari kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China memberi makna besar terhadap rundingan tersebut, sekali gus mengangkat imej Malaysia di mata dunia.
Jeremy turut menyatakan keyakinan terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memainkan peranan sebagai pemudah cara jujur dalam memupuk dialog terbuka, tanggungjawab bersama, dan kerjasama serantau yang erat.
"Ini adalah legasi diplomasi yang wajar dipertahankan dan diperkukuhkan oleh generasi hari ini demi memastikan Malaysia terus dihormati dan ASEAN kekal relevan dalam landskap global yang dinamik," tambah beliau.
Rundingan yang berlangsung di Kuala Lumpur kelmarin, tambah Jeremy Ang, merupakan satu titik penting dalam usaha damai ASEAN dan sekaligus memperkukuh peranan Malaysia sebagai peneraju keamanan serantau.









Comments