Rundingan 40% hasil Sabah diteruskan lepas kerajaan baharu terbentuk
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan telah melaksanakan rundingan dan menyalurkan peruntukan besar kepada Sabah sebagaimana tuntutan 40 peratus hasil negeri itu yang diputuskan oleh mahkamah baru baru ini.
Perdana Menteri menjelaskan isu tersebut tidak sepatutnya dipolitikkan oleh parti parti yang bertanding Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRN) Sabah ke 17 kerana sejak 2023, kerajaan telah meningkatkan pemberian khas Sabah kepada RM600 juta setahun dengan menyalurkan lebih RM17 bilion kepada negeri itu pada Belanjawan 2025, melebihi cukai yang dikutip dari Sabah sendiri.
"Berapa kita dapat (hasil cukai) daripada Sabah? RM10 bilion setahun. Tapi kita bagi balik pada Sabah RM17 bilion. Orang kata 40%, kita sudah beri lebih daripada 40%," katanya ketika berucap di Jelajah Malaysia Digital Sabah di Tawau hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, kerajaan menyalurkan semula RM17 bilion hasil cukai termasuk menggunakan dana tambahan dari negeri-negeri lain yang lebih maju seperti Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Johor.
"Dari mana datang tambahan RM7 bilion? Dari negeri yang lebih maju. Kalau saya beritahu semua angka, orang Selangor nanti marah. Dia kata, kami bagi banyak, kamu tolong Sabah dan Perlis," ujarnya.
Perdana Menteri berkata memandangkan sekarang dalam tempoh kerajaan sementara di Sabah, maka rundingan baharu hanya akan disambung selepas Kerajaan Negeri baharu dibentuk sejurus selesai PRN pada hujung bulan ini.
"Jadi saya harap soal 40% faham. Soalannya, mahkamah arah untuk runding. Saya kata baik kita akan runding. Tetapi hari ini nak runding dengan siapa?
"Belum boleh. Sebab kerajaan hanya kerajaan sementara, tunggu pilihanraya, selepas itu dah tubuh kerajaan, saya akan arah supaya rundingan segera. Tetapi, saya nak beritahu kepada mahkamah supaya dia faham, rundingan 2023 sudah berjalan pun," katanya.
Dalam ucapannya, Anwar turut membandingkan pentadbiran sebelum ini yang hanya memberikan RM56 juta hingga RM150 juta setahun, berbanding kerajaan MADANI yang menaikkan jumlah itu kepada RM600 juta setahun secara interim.
"Masa kamu (perintah) bagi RM56 juta sahaja, tak ada siapa marah. Sekarang kita naikkan RM600 juta, pembangkang pula yang bising. RM600 juta ini pun bukan muktamad, kita akan runding tambah lagi," tegasnya.
Perdana Menteri turut menegaskan bahawa prinsip rundingan itu kekal dengan hak Sabah akan terus dihormati sebagaimana janji yang termaktub dalam MA63.
"Ini janji bapak-bapak kita dulu, Almarhum Tunku Abdul Rahman, Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens. Mereka tandatangan supaya anak cucu tidak lupa janji. Jadi kita laksanakanlah," katanya.
Anwar turut mengumumkan bahawa beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Kabinet Khas mengenai 40% bagi menentukan langkah seterusnya selepas keputusan mahkamah berhubung isu tersebut.
"Saya tahu orang Sabah tak berhenti sebut 40%. Jadi esok, kita dengar dulu pandangan Peguam Negara. Kalau tanya saya, ini bukan isu besar kerana kita sudah bagi, sudah runding, sudah naikkan peruntukan. Tapi kita kena ikut proses undang-undang," katanya.
"Kalau bagi saya tak appeal (buat rayuan) pun, okay. Kalau Peguam negara kata kalau tak appeal akan menjejaskan kedudukan perlembagaan, itu kita kena timbang."
Anwar menegaskan rundingan dan pelaksanaan MA63 bukan retorik politik, sebaliknya usaha berterusan kerajaan untuk memastikan Sabah tidak ketinggalan dalam pembangunan nasional sambil menutup jurang ekonomi antara negeri.
"Kalau orang kata kerajaan rampas hak Sabah, itu salah. Kita ambil RM10 bilion daripada Sabah, kita bagi balik RM17 bilion. Peruntukan RM600 juta setahun ini interim, dan kita akan runding lagi," jelas beliau.





