Runding semula harga tanah Kg Baru jika benar kerajaan BN bela Melayu - Syed Badli



Kerajaan 90% Melayu Islam yang sedang memerintah Malaysia digesa merundingkan semula harga tanah penduduk Kampung Sungai baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur yang akan diambil bagi tujuan pembangunan.


Menurut Mantan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PPKB), Syed Badli Shah Syed Osman, harga RM300 sekaki yang ditawarkan melalui pengambilan paksa di bawah Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah (APT), 1960 amat memalukan kerana pemimpin pemimpin Umno dan Pas sebelum ini telah mencela idea kerajaan Pakatan Harapan untuk membeli semula tanah penduduk dengan harga RM1,000 sekaki.


Kata Syed Badli, APT tidak seharusnya digunakan jika kerajaan benar benar serius mahu melihat orang Melayu maju dan memiliki modal secukupnya untuk daya usaha baharu selepas mereka kehilangan tanah


"Pewartaan Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah yang dikuatkuasakan terhadap Projek Pembangunan Semula Kampung Sungai Baru, Kampung Baru adalah satu bentuk penindasan kepada pemilik.


"Ini berikutan masih terdapat kira-kira 110 pemilik belum menurunkan tandatangan untuk meneruskan projek ini.


"Jika kerajaan tetap mengenakan APT untuk meneruskan projek ini, bererti kerajaan BN sedang menghalau dan menindas pemilik yang rata-ratanya berbangsa Melayu secara paksa," katanya.


Menurut Syed Badli lagi, pemaksaan ke atas pemilik tanah tidak wajar dilakukan lebih lebih lagi dalam kerajaan hari ini terdapat parti Pas dan Bersatu yang pernah menentang dasar rakus BN merampas tanah milik orang Melayu.


Justeru, Syed Badli mahu Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim mengotakan janji membela orang Melayu yang dibuat kerajaan Perikatan Nasional dan kemudian BN.


"Oleh itu satu bentuk rundingan semula di antara kerajaan, pemaju dan pemilik yang tidak bersetuju perlu diadakan dengan segera untuk mencari solusi terbaik kepada masalah ini.


"Berikutan kegagalan Ahli Parlimen Titiwangsa YB Rina Harun untuk menyelesaikan perkara ini, saya menggesa Menteri Wilayah Persekutuan YB Datuk Seri Shahidan untuk turun bertemu dengan penduduk terjejas secepat mungkin," katanya.


Isu pengambilan paksa tanah Kampung Sg Baru menjadi panas semula semalam apabila bekas Perdana Menteri Najib Razak menjawab hartanah yang terlibat bukan terletak dalam kawasan Kampung Baru tetapi lokasinya berdekatan KLCC.


Bagaimanapun netizen menyerang Najib, sekiranya tanah di dalam kawasan Kampung Baru sebelum ini pemimpin Umno meletakkan harga RM3,000 sekaki, maka nilai tanah di Kampung Sg Baru sepatutnya lebih tinggi daripada itu.


Manakala hujah bahawa tanah tersebut berstatus pajakan 99 tahun dan bergantung kepada susut nilai tidak diterima netizen kerana sebelum ini BN menggunakan pelbagai alasan untuk mengambil tanah orang Melayu secara murah, sebaliknya kerajaan BN bersedia membayar harga lebih tinggi andai melibatkan bukan Melayu.

0 comments