Rumah terbuka LAI: Kepimpinan akar umbi pemacu integrasi
- Suara Keadilan

- Feb 26
- 2 min read

Semangat perpaduan dalam kerangka Malaysia Madani dizahirkan secara nyata apabila lebih 1,000 penduduk pelbagai latar belakang membanjiri Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran aktivis masyarakat, Lai Chen Heng, baru baru ini.
Majlis yang diadakan di perkarangan Pasar Teratai Mewah itu mendapat liputan meluas pihak media tempatan, sekali gus mencerminkan kepentingan inisiatif komuniti dalam memperkukuh hubungan antara kaum. Program ini merupakan kesinambungan daripada siri jelajah perayaan beliau, selepas Majlis Menyambut Kedatangan Tahun Baru pada 1 Februari lalu yang turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
Lai Chen Heng atau dikenali sebagai LAI yang juga merupakan Mantan Ahli Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mengambil pendekatan inklusif dengan memastikan aspek sensitiviti agama dipelihara sepanjang program berlangsung dalam bulan Ramadan yang mulia.

Penganjur bukan sahaja menyediakan hidangan yang dijamin halal sepenuhnya, malah membuat keputusan strategik untuk menganjakkan waktu jamuan utama bagi membolehkan sesi berbuka puasa dilakukan secara bersama-sama antara tetamu.
"Integrasi nasional bermula daripada sikap saling menghormati. Walaupun ini adalah sambutan Tahun Baharu Cina, keutamaan kami adalah memastikan rakan-rakan Muslim dapat berbuka puasa dengan sempurna sebelum kita memulakan acara kebudayaan," katanya yang juga merupakan AJK Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Wilayah Persekutuan.
Mengulas mengenai kempen Galloping Horse yang dilancarkannya sebelum ini, Lai menegaskan bahawa inisiatif tersebut merupakan refleksi kepada komitmen perkhidmatan beliau yang konsisten buat penduduk Setapak dan Wangsa Maju.
Pemilihan lokasi di Pasar Teratai Mewah mempunyai nilai sejarah tersendiri, memandangkan beliau merupakan individu yang bertanggungjawab menguruskan proses penukaran lokasi pasar berkenaan tujuh tahun lalu bagi memastikan kesejahteraan para penjaja dan penduduk setempat.
"Slogan ‘LAI Sentiasa Bersamamu Wangsa Maju’ adalah satu janji perkhidmatan. Kehadiran luar biasa yang melangkaui sasaran 1,000 orang malam ini adalah isyarat jelas kepercayaan akar umbi terhadap gerak kerja kami dalam menyatukan masyarakat," tambah beliau.
Acara tersebut turut menyaksikan nyanyian secara langsung Tahun Baru Cina yang dihasilkan sepenuhnya melalui kerjasama komuniti setempat.
Menariknya, LAI turut memberikan sentuhan peribadi dengan menyumbangkan vokal beliau dalam produksi tersebut sebagai simbolik kebersamaan dengan bakat-bakat tempatan. Produksi tersebut menampilkan kerjasama erat daripada pelbagai pihak termasuk kumpulan Jojo Sisters Linedance dan Happy Tempo, serta penglibatan pempengaruh media sosial On Sir, artis rakaman Johnny Ho, Ms. Christina Tan, serta vokalis Aaron Tan dan Sook Yen.
Manakala kempen Galloping Horse dijadualkan melabuhkan tirainya pada sambutan Chap Goh Mei yang akan berlangsung di Kampung Lee Kong Chian pada 3 Mac 2026 akan datang.




Comments