Rumah terbuka Aidilfitri TPM Fadillah di Kuantan dihadiri pelbagai lapisan masyarakat
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof berlangsung meriah dengan kehadiran pelbagai lapisan masyarakat di Pekarangan Masjid Al-Muttaqin Tanah Putih Baru, pada hari raya kelima.
Majlis itu mendapat sambutan hangat daripada warga Kuantan termasuk penduduk sekitar Tanah Putih Baru.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Latihan KEADILAN Kuantan, Ustaz Tan Ibrahim yang hadir mewakili kepimpinan cabang berkata, suasana majlis jelas mencerminkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Turut hadir mewakili KEADILAN Kuantan ialah Ketua Ranting Tanah Putih Baru, Mohd Romagan Ahmad bagi mewakili Ketua Cabang Keadilan Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi.
Dalam pada itu, seorang pengunjung dari Kampung Ubai, Mohd Yusoff Mustafa melahirkan rasa teruja apabila berpeluang bertemu pemimpin negara itu.
Katanya, peluang bertemu muka dengan Timbalan Perdana Menteri sangat dinantikan walaupun jarak Kampung Ubai agak jauh.
Sementara itu, Tan Ibrahim turut berkongsi keterujaannya apabila dapat berinteraksi secara santai dengan Fadillah, termasuk menggunakan dialek Melayu Sarawak berdasarkan pengalaman beliau pernah berkhidmat di negeri itu.
"Saya pernah berkhidmat hampir 20 tahun di Sarawak sebagai guru, jadi peluang berseloroh dan berinteraksi dalam dialek Melayu Sarawak serta berkongsi pengalaman ketika di Sarawak dengan Yang Amat Berhormat ini begitu bermakna," katanya.
Penduduk Tanah Putih Baru turut merakamkan penghargaan atas kesudian Fadillah Yusof memilih kawasan tersebut sebagai lokasi sambutan Aidilfitri tahun ini.
Selain itu, beliau turut meluangkan masa menunaikan solat Zohor secara berjemaah bersama warga kariah masjid.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran anggota pasukan keselamatan termasuk tentera, polis dan bomba yang bersama-sama memeriahkan sambutan Aidilfitri tersebut.
