Rumah terbuka Aidilfitri: Beri makan rakyat bukan membazir - Anwar
- Redzuan Shamsudin
- Apr 28, 2023
- 1 min read

Penganjuran Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI tidak boleh dianggap membazir atau mengganggu kewangan kerajaan kerana program tersebut adalah majlis untuk rakyat sempena perayaan.
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata demikian kepada wartawan usai solat Jumaat di Masjid Jamuil Ehsan Kampung Kubu Gajah, Paya Jaras, Selangor petang ini.
Beliau sebelum itu ditanya mengenai pendapat agar jamuan yang diadakan di 6 negeri perlu dibuat menggunakan kewangan parti politik kerana pada waktu ini kerajaan sedang berjimat cermat.
"Kerajaan buat... di mana mana pun kerajaan buat. Beri makan rakyat bukan membazir. Kalau kita buat untuk peribadi, keluarga itu tujuan peribadi (tidak boleh peruntukan kerajaan). Kalau (jamuan ini) kita buat untuk rakyat.
"Jauh lebih murah buat di Alor Setar daripada di Putrajaya," katanya.

Mengenai Menteri besar Kedah, Datuk Seri Mohd Sanusi Md Nor yang berkata beliau belum dijemput untuk hadir ke rumah terbuka Kerajaan Persekutuan di Alor Setar esok, PM menjelaskan jemputan telah pun dibuat.
Apatah lagi, katanya, Sultan Kedah pun berkenan mencemar duli bersama rakyat pada majlis tersebut dan semestinya MB akan turut menemani tuanku.
"Saya difahamkan dijemput. Tuanku pun berangkat, Menteri Besar pun dijemput," katanya lagi.
Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia MADANI anjuran Kerajaan Persekutuan di Kedah akan diadakan dari pukul 10.00 pagi hingga 2.00 petang esok di Hotel Raia, Alor Setar, Kedah Darul Aman.
Comments