Rumah PPRT : Pastikan projek baharu tidak ulangi kelemahan lalu - ABIM Sabah
- Redzuan Shamsudin
- Apr 26, 2022
- 2 min read

ABIM Sabah menyambut baik pengumuman Kerajaan Negeri Sabah baru baru ini mahu membina 1,500 unit rumah di bawah Projek Pembinaan Rumah Termiskin (PPRT) yang diberi nama Rumah Mesra Sabah Maju Jaya.
Menurut Yang Dipertua ABIM Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus, usaha Kerajaan Negeri itu bagaimanapun harus mengambil kira kelemahan projek sama sebelum ini untuk diperbaiki agar rakyat mendapat kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti.
"ABIM Sabah untuk menyatakan objektif utama PPRT diwujudkan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup keluarga miskin tegar dan miskin dengan membina atau membaik pulih rumah bagi menyediakan tempat kediaman yang selamat dan selesa.
"Namun yang demikian, apa yang berlaku, terdapat isu kontroversi yang timbul tentang kelemahan perlaksanaan projek PPRT sebelum ini seperti rumah yang dibina tidak mengikut spesifikasi yang betul dan pembinaan rumah tersebut sering dianggap tidak mempunyai kualiti keselamatan dan keselesaan sebagaimana diharapkan.
"Kekukuhan rumah yang tidak stabil, ruangan bilik dan tandas yang tidak mencukupi serta terdapat juga tapak rumah yang dibina sering dinaiki air kerana kawasan yang rendah.
"Hal ini berlaku kerana berlaku sikap ketidakjujuran dan ketidakseriusan sesetengah kontraktor binaan yang ingin mendapatkan keuntungan lebih sehingga hasil projek rumah tersebut seperti ‘melepaskan batuk di tangga’ sahaja," kata Hilmie dalam satu kenyataan.
Sehubungan itu, katanya, ABIM Sabah berpendapat satu penelitian harus dilakukan sebelum projek baharu dimulakan terutama terhadap kontraktor yang akan dilantik dan bahan binaan yang bakal digunakan.
"ABIM Sabah berharap Kerajaan Negeri dapat memastikan Rumah Mesra SMJ ini adalah projek perumahan yang terlepas daripada isu-isu lepas, malah lebih berkualiti binaannya sehingga mampu mencapai tahap selamat dan selesa seperti yang diharapkan oleh setiap orang.
"ABIM Sabah juga berharap agar penerima hadiah rumah mesra tersebut adalah yang betul-betul layak dan memenuhi syarat utama pemohon yang dikategorikan dalam kelompok miskin tegar dan miskin. Hal ini kerana tujuan pemberian kemudahan rumah tersebut kepada mereka adalah untuk meningkatkan tahap kualiti kehidupan mereka," katanya lagi.
Selain itu, ABIM Sabah juga mencadangkan agar kelompok belia yang baru mendirikan rumahtangga dan memulakan
kehidupan berkeluarga dimasukkan sekali ke dalam senarai pemohon yang layak menerima bantuan Rumah Mesra SMJ berkenaan.
Comments