
Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) diminta meneliti semula syarat yang menetapkan pemaju perumahan menyediakan kediaman mampu milik dalam setiap projek mega dibangunkan.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu perlu memandangkan syarat yang ditetapkan iaitu pemaju mesti membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam setiap projek perumahan didapati tidak mengikut jadual dan skala ditetapkan.
"Ini memang dasar sedia ada, tetapi ia tidak menepati dari segi kelajuan dan skala yang ditetapkan.
"Sebab itu saya minta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming untuk melihat semula dan mengenakan syarat baharu," katanya dipetik.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu sebelumnya menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Perumahan Penjawat Awam Malaysia Madani Dalur di Presint 18, Putrajaya pada Khamis.
Bangunan blok setinggi 37 tingkat itu terdiri daripada 500 unit kediaman mampu milik khusus untuk penjawat awam berkeluasan 1,000 dan 1,200 kaki persegi dengan harga tidak melebihi RM260,000 jauh lebih rendah dengan nilai semasa pasaran.
Sebanyak peratus daripada 500 unit berkenaan telah diperuntukkan kepada Melayu Bumiputera bagi mengatasi masalah pemilikan rumah dalam kalangan golongan B40.
Sementara itu Anwar berkata, semua pemaju perumahan perlu mematuhi syarat tersebut bagi memastikan setiap projek perumahan mega turut menyediakan rumah mampu milik agar golongan berpendapatan sederhana mampu memiliki kediaman sendiri.
Tambahnya, pembinaan rumah mampu milik amat bermakna kepada golongan berpendapatan sederhana kerana isu pemilikan rumah merupakan masalah yang menekan golongan itu.
Sebagai rekod, Kerajaan telah mewajibkan pemaju perumahan swasta untuk membina sekurang-kurangnya 30% rumah mampu milik dalam projek perumahan mega, sejak 1981.