top of page

Rumah ibadat: Tidak letak undang-undang di tangan sendiri, ingatan penting PM

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Feb 12
  • 2 min read


Oleh: Helmi Foad


Penegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tiada mana-mana pihak berhak mengambil undang-undang di tangan sendiri khususnya dalam isu melibatkan rumah ibadat merupakan satu peringatan penting.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George yang merakamkan penghargaan kepada pendirian Perdana Menteri itu menyatakan penegasan tersebut bagi memastikan semua pihak sentiasa menghormati proses undang-undang dan institusi yang sah.


"Negara ini mesti berasaskan peraturan dan undang-undang, bukan atas kehendak atau tindakan mana-mana individu," katanya dalam kenyataan hari ini.


Perdana Menteri dalam ucapannya pada majlis sambutan Tahun Baru Cina di Petaling Jaya malam tadi mengingatkan semua pihak supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya timbul sebarang isu, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menanganinya mengikut saluran yang betul.


"Kita tidak boleh mengambil undang-undang di tangan sendiri. Undang-undang mesti dihormati dan dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa.


"Malaysia mesti kekal sebagai negara aman yang mematuhi undang-undang. Sebarang tindakan penguatkuasaan perlu dilakukan oleh pihak berkuasa, bukan individu," katanya dipetik.


Terdahulu dalam insiden terbaru semalam, empat individu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung tindakan meroboh sebahagian kuil Persatuan Penganut Sri Uchimalai Muniswararman di Rawang.


Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata polis turut merampas sebuah jentolak yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.


Pondok kuil itu didirikan di atas tanah milik Yayasan Kubra.


Mengulas lanjut, Gunaraj berkata dalam perkara berkaitan rumah ibadat, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Kerajaan Negeri mempunyai mekanisme sedia ada seperti Sistem Pengurusan Rumah Ibadat Bukan Islam (LIMAS) bagi menyelaras, menasihati dan memastikan pematuhan terhadap garis panduan perancangan serta keperluan undang-undang.


Beliau menegaskan segala isu dan kebimbangan seharusnya disalurkan melalui saluran rasmi dan bukannya melalui tindakan unilateral yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk negara ini.


Pada masa sama, beliau turut menyeru agar pihak berkuasa berkaitan mempercepatkan proses kelulusan bagi permohonan rumah ibadat yang masih tertangguh bagi mengelakkan salah faham serta ketegangan yang tidak perlu.


"Kelewatan yang berpanjangan boleh menimbulkan salah faham serta ketegangan yang tidak perlu.


"Kecekapan, ketelusan dan komunikasi yang jelas amat penting dalam memastikan isu-isu ini ditangani secara profesional dan adil," katanya.


Beliau juga menggesa semua agensi kerajaan yang berkaitan supaya memberikan kerjasama penuh dan membantu pemohon dalam memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.


"Pendekatan tersusun, bersepadu dan berorientasikan penyelesaian akan memperkukuhkan keyakinan rakyat bahawa negara ini benar-benar ditadbir berlandaskan kedaulatan undang-undang serta semangat hormat-menghormati antara kaum dan agama," katanya.

 
 
 

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page