Rumah ibadat tanpa kebenaran: Tangani secara tegas, tertib - MKN
- Suara Keadilan

- Feb 13
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Isu rumah ibadat tanpa kebenaran di Selangor perlu diselesaikan secara tertib dan segera bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat keharmonian kaum serta agama di negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pendirian tersebut dicapai dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Selangor yang dipengerusikannya semalam bagi membincangkan tahap keselamatan negeri.
Menurut beliau, terdapat dua isu utama melibatkan rumah ibadat tidak sah di negeri itu, iaitu rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik Kerajaan Negeri serta rumah ibadat yang dibina di atas tanah milik persendirian.
Bagi rumah ibadat yang menduduki tanah milik Kerajaan Negeri, beliau telah mengarahkan supaya prosedur sedia ada di peringkat negeri dipertingkatkan, termasuk tindakan segera oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Beliau turut menegaskan keperluan memperkemas serta memperjelas Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) Jawatankuasa Lembaga Pengurusan dan Penyelarasan Rumah Ibadat Bukan Islam (LIMAS) bagi memastikan penguatkuasaan lebih tersusun dan berkesan.
Sementara itu, bagi isu rumah ibadat yang didirikan di atas tanah milik persendirian tanpa kelulusan, MKN Negeri Selangor memutuskan agar pemilik tanah yang berdepan pencerobohan membuat laporan polis.
"Langkah ini membolehkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan dan sekiranya terbukti berlaku pencerobohan, proses pendakwaan akan dimulakan," katanya.
Selain itu, pemilik tanah juga perlu menghantar notis kepada pihak yang menceroboh serta memaklumkan perkara tersebut secara rasmi kepada Pejabat Daerah.
"Jawatankuasa Keselamatan Daerah (JKD) yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah telah diaktifkan di semua daerah di Selangor bagi mengendalikan isu berkenaan.
"JKD akan bertindak sebagai pengantara dengan memanggil semua pihak berkepentingan termasuk pemilik tanah, pengurusan rumah ibadat, PDRM dan PBT bagi mencari penyelesaian yang munasabah dan harmoni. Sekiranya proses ini tidak membuahkan hasil, JKD akan menasihatkan supaya pemilik tanah meneruskan tindakan melalui proses mahkamah," ujarnya.
Mesyuarat semalam turut dihadiri Ketua Polis Selangor, Panglima Markas 11 Bridged, Yang Dipertua Majlis, dan Pegawai-Pegawai Daerah.
Sementara itu, sebagai mengulas isu perobohan sebuah kuil di Rawang pada Rabu yang didakwa berlaku tanpa notis atau perbincangan dengan pihak berkuasa, Amirudin menegaskan ia telah menyebabkan pelbagai persepsi sekaligus mencetuskan kegusaran dan kerisauan pelbagai pihak.
Berdasarkan Kanun Tanah Negara dan undang-undang berkait tanah, mana-mana pihak jelasnya tidak boleh mengambil tindak sendiri tanpa melalui proses mahkamah.
"Insiden tersebut sedang dalam siasatan pihak berkuasa polis dan akan melalui proses undang-undang yang sewajarnya," tambahnya.




Comments