Rumah diroboh bina lebuh raya: Pihak berkuasa diminta campur tangan - Dr Gunaraj
- Suara Keadilan
- 2 days ago
- 1 min read

Pihak berkuasa berkaitan diminta untuk segera campur tangan berhubung pembelaan hak penduduk terjejas di Kampung Jawa Klang, Selangor susulan pembinaan Lebuhraya Taiping ke Banting (WCE).
Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, Dr Gunaraj George berkata, proses pembayaran pampasan kepada penduduk yang terlibat masih dalam prosiding Mahkamah Tinggi Shah Alam dengan pembicaraan yang dijadualkan berlangsung pada 10 Julai, 26 Ogos dan 31 Ogos ini.
Sehingga kini katanya, hanya 75 peratus daripada jumlah pampasan telah disalurkan ke dalam akaun peguam penduduk, sementara baki 25 peratus masih dalam pertimbangan mahkamah.
Namun dakwa Dr Gunaraj, amat mendukacitakan apabila 25 keluarga yang terlibat dalam proses tersebut telah diarahkan berpindah oleh WCE dengan empat buah rumah dakwanya dirobohkan tanpa sebarang perintah sah mahkamah, tanpa kehadiran wakil penguatkuasa yang berwibawa serta tanpa notis pemakluman kepada penduduk.
"Tindakan ini bukan sahaja melanggar norma perundangan negara, bahkan turut mencemarkan prinsip keadilan dan hak asasi penduduk yang masih menunggu penyelesaian sah di mahkamah," kata Dr Gunaraj menerusi satu kenyataan.
Sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan, beliau menegaskan, semua bentuk pemindahan, perobohan kediaman, dan gangguan terhadap penduduk hendaklah dihentikan serta merta sehingga kes itu dimuktamadkan oleh pihak mahkamah.
"Pihak WCE dan kontraktor yang dilantik wajib mematuhi proses undang-undang sedia ada termasuk menghormati hak penduduk yang sedang menjalani proses tuntutan pampasan.
"Saya memohon campur tangan segera pihak Kerajaan Negeri, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pejabat Daerah dan Tanah Klang serta pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan tindakan kontraktor yang melampui undang-undang ini, dihentikan serta melindungi kebajikan penduduk terlibat," dakwa beliau lagi.
Comments